Teng dedah hasrat bersara selepas 'lama dalam politik'
Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim mendedahkan hasratnya untuk bersara daripada politik sebelum pilihan raya umum akan datang.
Walau bagaimanapun, menurutnya, keputusan itu tiada kaitan dengan kontroversi garis panduan mengenai tempat ibadat bukan Islam yang menyaksikan dirinya menawarkan peletakan jawatan sebagai ahli exco.
Dalam temu bual disiarkan di Facebook Roket berbahasa Cina pada Rabu lalu, Teng berkata beliau mungkin mahu bersara selepas berkecimpung selama 22 tahun dalam politik.
Beliau berkata demikian ketika disoal sama ada beliau mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.
"Mungkin ini sudah cukup bagi saya, ramai orang muda sedang menunggu. Saya sudah pegang kerusi itu terlalu lama," kata bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor itu.
Teng dilaporkan dipinggirkan oleh partinya yang dikawal ketat oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Naib Presiden DAP Selangor itu bagaimanapun berkata terpulang kepada parti untuk menentukan kedudukannya dan beliau fleksibel jika perkiraan parti khidmatnya masih diperlukan.

