'BNM dijangka naikkan kadar faedah separuh kedua 2017'
Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), organisasi yang beribu pejabat di London, menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar faedah pada separuh kedua tahun ini.
Dalam laporan 'Economic Insight: South East Asia,' ICAEW berkata, kenaikan itu didorong oleh kenaikan inflasi disebabkan kos bahan api dan import yang lebih tinggi.
"Kenaikan kadar faedah BNM dijangka mengambil kira pelaburan dalam negara. Kenaikan dalam pulangan dan kadar pinjaman korporat secara menyeluruhnya melenyapkan impak positif daripada pengurangan kadar dasar bank pusat itu pada Julai tahun lepas," katanya.
Ia berkata pelaburan perniagaan dijangkakan lemah disebabkan kos pembiayaan yang meningkat serta ketidak tentuan yang ketara kedudukan permintaan luar, namun perkembangan dalam kedudukan global yang lebih mungkin menyokong pemulihan kecil pada separuh kedua tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, ekonomi Malaysia dijangkakan pulih sedikit tahun ini untuk mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 4.4 peratus, hasil daripada eksport dan perbelanjaan isi rumah.
Ia berkata, ini selari dengan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar ASEAN sebanyak 4.4 peratus ekoran jangkaan kenaikan kadar faedah US dan peningkatan dolar AS yang akan mengekang pemulihan di rantau ini.
"Unjuran kenaikan kadar faedah di AS serta pengukuhan dolar AS dijangkakan menjurus kepada syarat monetari yang lebih ketat serta mencetuskan pengaliran keluar modal, yang boleh memberi tekanan ke atas Malaysia memandangkan pemegangan tinggi bon dalam mata wang asing serta defisit akaun semasa," kata ICAEW.
Ia berkata ringgit dijangkakan bergerak antara RM4.4 dan RM4.5 berbanding dolar AS tahun ini.
Laporan itu menyebut ekonomi negara akan terus berhadapan cabaran dengan kemungkinan kemerosotan dagangan global dan harga komoditi yang boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna dan perniagaan.
"Wujud juga risiko kerajaan berbelanja tinggi menjelang pilihan raya umum, yang dijangkakan sebelum Ogos 2018,yang boleh menyebabkan angkanya melepasi sasaran defisit fiskal tiga peratus." katanya.
- Bernama

