Paling Popular
Terkini

PAS menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat parti politik yang ada di negara ini untuk memastikan sama ada mereka mematuhi perlembagaan atau sebaliknya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata antara aspek yang perlu diteliti adalah kepatuhan pihak terbabit kepada peruntukan Islam sebagai agama persekutuan.

"Kita minta ROS sila buat kajian parti-parti lain, adakah mereka menghormati perlembagaan, ikut perlembagaan atau tidak.

"Contoh, Islam agama rasmi - dia hormat ke tidak? Raja berpelambagaan, dia hormat ke tidak? Bahasa Melayu, (Islam) agama rasmi, dia hormati ke tidak? Hak bumiputera Melayu jawa bugis orang asal semenanjung, bumiputera Sabah Sarawak ada hak istimewa yang perlu dihormati, mereka hormat ke tidak?" kata Abdul Hadi semasa menggulung perbahasan di akhir muktamar tahunan PAS di Kota Sarang Semut di Alor Setar petang tadi.

Walaupun tidak menamakan secara khusus parti yang dimaksudkannya, Abdul Hadi dipercayai merujuk kepada DAP yang suatu ketika dulu pernah menjadi sahabat PAS.

Sementara itu tidak terkecuali daripada kecaman Abdul Hadi dalam ucapan itu ialah Parti Amanah Negara (AMANAH) dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk kepada sejarah Nabi Daud AS, Abdul Hadi menyentuh mengenai "pemakan dedak" yang disifatkannya sebagai golongan yang tidak istiqamah dalam perjuangan.

"Istilah makan dedak ni, bukan saya buat. (Orang) yang buat istilah ni masih hidup.

"Dan siapa ada dedak? Orang Umno tahu siapa yang makan dedak," katanya.

Istilah "dedak" dipopularkan oleh Dr Mahathir sejak beliau menyertai gerakan cuba menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Selain mengaitkan ungkapan itu dengan penyokong Najib, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu juga membayangkan PAS sebahagian daripada pemakan dedak kerana enggan bersama Pakatan Harapan menghadapi BN pada pilihan raya umum akan datang.

Lihat Komen
ADS