Pemuda Umno mahu dilakukan 'lonjakan perkasa' dalam usaha membangunkan orang Melayu melalui pelancaran Agenda Nasional Baru (ANB) untuk mengembalikan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mencapai matlamat 30 peratus ekuiti orang Melayu pada tahun 2020.

Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, matlamat pegangan 30 peratus itu bukan sahaja terhad kepada pegangan ekuiti, tetapi ia juga perlu meliputi bidang hartanah, premis komersial dan harta intelek.

Berucap membentangkan usul ekonomi di Perhimpunan Agung Umno hari ini, Khairy menegaskan, matlamat ANB hendaklah disuntik dan menjadi asas penting dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) kerajaan.

Bagi memastikan pelaksanaan ANB itu tidak tergelincir daripada matlamatnya, beliau turut mencadang penubuhan Sekretariat Ekonomi Melayu untuk memantau pencapaian matlamatnya sehingga tahun 2020.

Khairy turut berkata, sekretariat tersebut boleh bekerjasama dengan syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC) untuk memantau ekonomi orang Melayu melalui pelaksanaan agenda pembangunan baru itu.

Menurutnya, sekretariat tersebut boleh mengeluarkan laporan suku tahun mengenai kedudukan ekonomi orang Melayu untuk menyediakan maklumat untuk rujukan pihak-pihak berkenaan di samping mendedahkan kelemahannya untuk diperbetulkan.

Dengan cara itu, tegasnya, setiap pelaksanaan ANB akan dapat dipantau secara terperinci bagi mengelak berlakunya 'ketirisan' peluang yang diberikan kepada orang Melayu, kepada bangsa lain.

Dikongsi bersama

Sebagai contohnya, kata Khairy, daripada 90 peratus nilai kontrak Jabatan Kerjaraya (JKR) yang diberi kepada usahawan Melayu, hanya 21 peratus daripadanya dilaksanakan oleh usahawan Melayu.

Katanya, jika ketirisan ini tidak segera ditampung, maka lebih banyak milik orang Melayu akan berpindah ke tangan orang lain.

Apabila berpindah tangan, katanya, peluang yang sepatutnya dikongsi bersama dengan orang Melayu yang lain, digadaikan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek.

Selain itu, katanya, pada tahun 2005 hanya 11.6 peratus bangunan komersil dimilik orang Melayu di samping 31 peratus profesional Melayu berdaftar, manakala hanya empat orang Melayu tersenarai sebagai antara 20 usahawan terkaya di Malaysia.

Menurutnya, pelaksanaan ANB atau di bawah apa nama sekalipun adalah penting bagi memastikan tempoh 15 tahun lagi menjelang Wawasan 2020 dapat diisi dengan usaha bersungguh semua pihak untuk memastikan 'maruah orang Melayu' ditebus semula supaya kedudukan mereka setanding dengan bangsa-bangsa lain di negara ini.

Menurut Khairy lagi, Wawasan 2020 dilancarkan ketika negara menikmati pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus setahun.

Tetapi, katanya, keadaan kini sudah berubah dan negara sedang berada di persimpangan yang kritikal dalam bidang ekonomi di mana dinding perlindungan kini semakin nipis.

Semangat DEB

"Oleh itu, apa yang kita lakukan sekarang akan menentukan apa yang bakal dicapai pada tahun 2020," tambahnya.

Menurut Khairy lagi, kejayaan matlamat DEB, walaupun tidak kesemuanya, sewaktu pelaksanaannya pada 1970 hingga 1990, adalah kerana adanya kesungguhan kerajaan berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya apabila DEB ditukar dengan Pelan Pembangunan Nasional pada 1990, agenda pembangunan orang Melayu, telah tertimbus kerana tidak dinyatakan dengan jelas dalam rancangan tersebut.

Oleh itu, katanya, Pemuda Umno menggesa supaya agenda pembangunan Melayu dilahirkan semula dan dinyatakan dengan terperinci melalui pelaksanaan RMK9.

Khairy juga menyorot kembali era kejayaan syarikat yang ada kaitan dengan Umno (ULC) yang mencapai kejayaan cemerlang, ketika dikendalikan sama ada secara terus oleh Umno ataupun melalui individu-individu yang mewakili parti itu.

Bagaimanapun, katanya, era kegemilangan ULC tersebut kini telah berlalu dan menjadi sejarah.

KUB rugi RM300 juta

Sebagai contoh, katanya, syarikat milik Umno, KUB mengalami kerugian sebanyak RM300 juta bagi tempoh tahun 2001 hingga 2004.

Berikutan itu, beliau menggesa supaya ULC distruktur semula supaya kembali berjaya dengan dikendalikan oleh profesional dan usahawan Melayu yang mampu melaksanakannya.

Selain menjana sumber kewangan kepada parti, katanya, ULC juga harus diberi peluang untuk menceburi bidang-bidang yang sepatutnya diusahakan oleh orang Melayu sendiri.

Sebagai contohnya, kata Khairy, banyak urusan kewangan Islam yang dikendalikan oleh bank-bank bukan Islam, malah ada yang telah menubuhkan bank Islam mereka sendiri.

Di samping itu, katanya, industri makanan halalpun dikuasai oleh syarikat bukan Melayu, yang telah menggunakan kepakaran mereka untuk merebut peluang di bidang berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, segala cadangan yang dikemukakan dalam usul tersebut bukan bermakna yang Pemuda Umno meminta 'tongkat' atau mahu dimanjakan.

"Pemuda tidak meminta tongkat, tetapi Pemuda mahu berjuang bersama parti untuk menjayakan agenda pembangunan Melayu tanpa dimanjakan, untuk menebus semula maruah bangsa Melayu," katanya.