Pemuda Umno mengingatkan kerajaan bahawa kelewatan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri bertindak menangkap Ayah Pin, boleh menimbulkan anggapan seolah-olah pihak berkuasa tidak bersungguh-sungguh untuk bertindak terhadapnya.

Wakil Pemuda Umno, Khazan Che Mat, yang juga dari Terengganu, berkata ajaran Ayah Pin dan pengikutnya harus 'dihapuskan' seperti kerajaan bertindak terhadap kumpulan a-Arqam dan al-Maunah sebelum ini.

Katanya, pada 18 Julai lalu, sekumpulan mereka yang tidak berpuashati telah mengambil tindakan sendiri membakar perkampungan yang diasaskan oleh Ayah Pin atau nama sebenarnya, Ariffin Mohamad, 63, di Hulu Besut.

Beliau bimbang, sekiranya pihak berkuasa masih gagal bertindak menangkap Ayah Pin, keadaan menjadi mungkin menjadi lebih buruk sehingga boleh mengakibatkan pertumpahan darah.

Katanya, kelewatan pihak berkuasa bertindak menahan Ayah Pin juga telah menyebabkan tersebar cerita oleh para pengikutnya kononnya, pemimpin mereka itu sudah 'naik ke kerajaan langit".

Beliau berkata, tidak mungkin pihak polis tidak mampu tangkap Ayah Pin, sekiranya betullah pihak berkuasa mahu berbuat demikian.

Katanya, ini kerana dalam kes al-Arqam dulu, pemimpinnya dapat ditangkap walaupun ketika itu sedang berada di luar negeri, sedangkan Ayah Pin masih lagi berada dalam negeri.

Katanya, pengikut Ayah Pin telah didakwa di Mahkamah Syariah Besut tetapi Ayah Pin masih lagi bebas.

"Takkanlah pihak berkuasa pun percaya yang Ayah Pin sudah naik ke langit...," katanya ketika membahas usul agama dan pendidikan di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Tiada enakmen lengkap

Katanya, pihak berkuasa juga perlu tindak segera kerana perkampungan Ayah Pin terletak di Hulu Terenggan dalam negeri menteri yang menjaga hal-ehwal agama, Datuk Dr Abdullah Mohd Zin dan perkampungannya pula terletak dalam kawasan pilihanraya Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh.

Sebelum itu, ketika membentangkan usul tersebut, wakil Selangor, Dr Amran Kasiman menggesa kerajaan supaya tegas dan segera dalam membanteras ajaran sesat yang boleh menjejaskan akidah umat Islam di negara ini.

Katanya, kegagalan kerajaan memantau secara berkesan ajaran sesat dikhuatiri boleh memudaratkan negara.

Sebagai contoh, katanya, akibat kelewatan pihak berkuasa agama bertindak, ajaran"Ayah Pin" yang bermula pada 1980, kini berkembang hingga pengikutnya mencecah ribuan orang dan malahan berani mencabar pihak berkuasa.

"Masalah ajaran sesat dan hukum murtad perlu diberi perhatian segera kerana jika lambat bertindak banyak masalah lain boleh berlaku dan sebab itu kalau perlu tambah kakitangan agama, lakukan segera agar dapat bertindak cepat," katanya.

Katanya, umat Islam patut diingatkan bahawa murtad hukumnya sesuatu perkahwinan itu akan terbatal dan apabila mati jasad mereka yang murtad tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam.

Ketika ini, katanya, tiada sebuah pun negeri yang mempunyai enakmen lengkap memperincikan hukum murtad.

Badan pemantau

Mengenai pendidikan, beliau meminta kerajaan memperkasakan pendidikan bermula di prasekolah sehingga ke peringkat universiti bagi memastikan anak Melayu mendapat perhatian sewajarnya, dan program di sekolah kebangsaan dinilai semula agar menjadi pilihan semua bangsa.

Sementara itu, ketika menyokong usul tersebut, Puteri Umno mencadangkan supaya diwujudkan badan pemantau prestasi pelajar Melayu dalam usaha melahirkan golongan Melayu glokal (global dan lokal).

Wakil pergerakan itu, Azlina Mehtab Mohd Ishaq juga mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menubuhkan tabung pendidikan bagi membantu anak Melayu yang cemerlang tetapi tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi.

Katanya, penubuhan badan pemantau adalah bagi memastikan pelajar Melayu tidak ketinggalan dalam semua bidang ilmu pengetahuan yang membolehkan mereka bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.