Umno hari diingatkan supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan agenda menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bagi mengekalkan jati diri dan tamaddun orang Melayu di negara ini.

Ketika menegaskan demikian, wakil Umno Johor, Datuk Dr Harris Salleh berkata, bahasa bukan setakat makna atau nahunya sahaja, tetapi bahasa adalah budaya dan tamaddun bangsa.

"Bahasa adalah jiwa bangsa lenyapnya bahasa maka akan lenyaplah bangsa," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Oleh itu, katanya, adalah penting bagi Umno memastikan bahasa Melayu dijadikan bahasa pendidikan di negara ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, ia bukanlah merupakan satu agenda perkauman, tetapi lebih merupakan satu agenda penyelamat bagi kebaikan negara.

Pada masa ini, katanya, matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah manakala lima matapelajaran di sekolah menengah Kimia, Biologi, Fizik, Matematik dan Matematik Tambahan kini diajar dalam bahasa Inggeris.

Lama kelamaan, katanya, apa akan jadi kepada bahasa Melayu sekiranya pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi, juga diajar dalam bahasa Inggeris.

Bahasa ibunda

"Apakah kita hendak membangunkan tamaddun Melayu melalui bahasa Inggeris?" soalnya sambil menambah bahawa tidak ada negara di dunia yang mencapai kemajuan melalui bahasa asing, tetapi melalui bahasa ibunda sendiri.

Tegasnya, jika perkembangan ini tidak diberi perhatian sewajarnya, beliau bimbang suatu hari ini nanti orang Melayu akan menjadi 'pengguna' kepada bahasa asing manakala bahasa mereka sendiri terpinggir.

Oleh itu, katanya, Umno perlu memberi perhatian terhadap perkara ini kerana 'Umno tidak akan wujud tanpa kewujudan orang Melayu".

Sementara itu, beliau juga meminta kerajaan supaya menampung kadar faedah pinjaman pelajaran yang dikenakan oleh institusi kewangan.

Menurut, graduan kini dibebankan dengan tanggungan membayar balik pinjaman bersama kadar faedah yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya diwujudkan sistem penjamin kepada pelajar atau mungkin sebahagian kadar faedah dibayar melalui subsidi daripada kerajaan.

Pinjaman pendidikan

Menurutnya, walaupun ada ibu bapa yang menabung dan membeli insurans pendidikan tetapi jumlah masih tidak mencukupi dan mereka masih terpaksa membuat pinjaman bagi menampung kos pendidikan anak-anak mereka yang semakin meningkat.

Dr Harris juga menyambut baik cadangan menubuhkan dana pendidikan anak Melayu yang disyorkan pada perhimpunan agung kali ini bagi membantu lebih ramai anak Melayu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau menyarankan kerajaan memberi pelepasan cukai korporat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jika mereka menyumbang kepada pendidikan pelajar Melayu.

"Kita boleh beri galakan kepada GLC yang menyumbang kepada tabung pendidikan itu dengan memberi pengecualian cukai korporat. Biar ada macam-macam peluang," katanya.

Beliau jua menggesa kerajaan supaya memperluaskan konsep institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memberi peluang kepada pelajar Bumiputera untuk terus maju dalam pelajaran.

"Dulu, pelajar yang mendapat gred tiga dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun ada peluang dan akhirnya jadi orang berguna. Hari ini kita minta konsep UiTM dikekalkan dan diperluaskan untuk elak keciciran anak Melayu dalam bidang pelajaran," katanya.