Perhimpunan Agung Umno tidak timbulkan isu perkauman
Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa semua perkara mengenai orang Melayu yang dibangkitkan sepanjang Perhimpunan Agung Umno kali ini bukanlah merupakan isu perkauman.
Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa semua perkara mengenai orang Melayu yang dibangkitkan sepanjang Perhimpunan Agung Umno kali ini bukanlah merupakan isu perkauman.
Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan satu usaha 'menyelesaikan tugas yang belum selesai dalam mencapai matlamat kemajuan orang Melayu seperti yang dihasratkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB)'.
"Apa yang kita lakukan ini hanya sebagai usaha lebih gigih lagi untuk mencapai matlamat kemajuan Melayu yang dihasrat oleh Dasar Ekonomi Baru.
"Ini bermakna semuanya telahpun diterima dahulu. Ianya adalah soal 'kerja yang boleh selesai...kita hanya hendak selesaikan kerja yang belum selesai lagi...," katanya dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno yang berakhir hari ini.
"Apa yang kita bincangkan hari ini bukan isu perkauman...bukan isu hendak berkonfrantasi dengan mana-mana kaum...bukan hendak menidak hak kaum lain yang terjamin dalam perlembagaan yang kita pertahankan," tambah beliau.
Berikutan itu, beliau mengingatkan supaya tidak ada mana-mana akhbar yang cuba menimbulkan perkara-perkara tersebut sebagai suatu isu perkauman yang tidak disenangi oleh kaum-kaum lain di negara ini.
Perkara tersebut sebelumnya dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Hishammuddin Hussein yang mendakwa ada akhbar berbahasa Cina yang menyifatkan gesaan diperkenalkan semula DEB, oleh pergerrakan itu, sebagai isu perkauman.
Sehubungan itu, Abdullah menjelaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno pada hari ini adalah berasaskan perkongsian bersama dengan kaum-kaum lain.
"BN adalah kerajaan yang bertanggungjawab. Kerajaan yang memahami apa yang baik bagi masa depan rakyat Malaysia, apa yang baik untuk negara kita, kita sama-sama dokong semua dasar, termasuk dasar memberi segala bantuan kepada kaum Melayu dan bumiputra yang ada di negara ini," katanya.
Tiada untuk disembunyikan
Malah, kata Abdullah, dalam ucapan perasmiannya Khamis lalu pun beliau tidak pernah menegur kaum-kaum lain.
"Saya hanya membuat teguran pada kaum saya sendiri. Kerana saya mahu orang Melayu, bangsa saya maju dan tidak mengharapkan bantuan dari mana-mana pihak. Saya yakin rakan-rakan kita dalam BN sama-sama memahaminya dan bersedia menjelaskannya kepada ahli parti mereka supaya tidak ada perselisihan sesama kita, dalam perjuangan bersama bagi mencapai matlamat Wawasan 2020," katanya.
Abdullah juga menegaskan bahawa apa yang diucapkannya bukan sahaja untuk Umno tetapi juga ditujukan juga kepada semua bangsa Melayu dan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
"Saya ambil sikap tulus, tidak ada ap-apa yang hendak disembunyikan. Tiada sebab hendak saya sembunyikan...lebih baik kita jelas supaya orang faham apa yang kita mahu dalam pembangunan Malaysia...kita mahu orang Melayu ada tempat apabila kita menjadi negara maju nanti.
"Kita tidak berniat untuk ambil hak orang, kita tidak berminat merampas hak kaum lain. Dalam sejarah pembangunan negara kita, tidak ada bukti kita rampas hak orang lain untuk kita jadi senang dan kaya," tambahnya.

