Najib: Wujud bank data usahawan Melayu berjaya
Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya disediakan sebuah bank data yang menyenaraikan usahawan bumiputra supaya dapat dibantu mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan.
Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya disediakan sebuah bank data yang menyenaraikan usahawan bumiputra supaya dapat dibantu mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan.
"Kita senaraikan bumiputra yang berkebolehan dan berpotensi ... jangan kita senaraikan orang yang kita kenal sahaja...yang rapat dengan kita, tetapi bumiputra yang berkemampuan menjadi usahawan yang berjaya," katanya.
Cara ini, tegasnya, akan dapat mengatasi masalah 'kebocoran' dan 'ketirisan' projek-projek yang diberikan kepada orang Melayu tetapi kemudiannya diserahkan oleh orang lain.
"Bilamana anda menyebut mengenai 'lembu suci' di kalangan orang tertentu, yang kita tidak boleh buat apa-apa kepadanya, saya ingin bahawa kerajaan hari ini berpendirian tidak ada sesiapa yang tidak boleh dikenakan tindakan terhadap mereka.
"Kalau lembu itu sudah ada penyakit kuku dan mulut, maka eloklah lembu itu dikorbankan sahaja," katanya disambut tepukan gemurah para perwakilan sewaktu menyampai ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno hari ini.
"Jadi, jangan bimbang, kalau ada sesiapa yang buat salah, tindakan tetap diambil. Keazaman politik adalah penting. Dalam ucapan Presiden, telah disentuh soal kebocoran dan ketirisan yang mesti dihentikan.
"Apa kita nak buat...tarik balik...kita gantung kalau kontrak diserahkan kepada orang lain dan sebagainya. Kita mesti ada keazaman politik...sampai bila kita hendak bercakap tentang kebocoroan kalau ianya terus berlaku," tambahnya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya ahli dan pemimpin Umno sendiri mesti bersedia menghadapi risiko dan tindakan yang akan diambil sekiranya mereka sendiri terbabit dalam kegiatan seumpama itu.
"Saya harap kalau terkena pada orang kita, harap faham-fahamlah...jangan pula lentuk leher minta jangan batalkan...sebab kita hendak menolong bumiputra yang berusaha sungguh-sungguh untuk berjaya dalam bidang perniagaan," katanya.
Revolusi pertanian
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jabatan dan agensi di bawah kementerian itu akan disusun semula dalam satu rombakan besar-besaran bagi memantapkan transformasi dan revolusi pertanian negara.
Beliau yang jua Naib Presiden Umno berkata, rombakan itu membabitkan jabatan pertanian, haiwan, perikanan serta agensi pemasaran dan Bank Pertanian yang memerlukan anjakan bagi memastikan agenda untuk meningkatkan pendapatan petani tercapai.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Biro Pertanian Umno berkata penyusunan semula itu penting selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan sektor pertanian diberi perhatian serius dalam pembangunan ekonomi negara.
"Terdapat 1.6 juta petani berdaftar di negara ini... 65 peratus orang Melayu...pendapatan mereka masih di bawah paras RM500 sebulan," katanya dalam ucapan penggulungannya.
"Kita akan mengambil beberapa langkah, antaranya melihat semula agensi utama jabatan pertanian, termasuk pengambilan 3,000 pegawai baru dengan separuh daripadanya telah diluluskan, serta menyusun, lakukan rombakan besar-besaran jabatan haiwan, perikanan, agensi Lembaga Kemajuan Ikan..."katanya.

