Mahkamah bebas tiga anak Ayah Pin, 27 lagi dibenar diikatjamin
Mahkamah Mahkamah Rendah Syariah di Besut hari ini membebas tiga anak Ayah Pin daripada tuduhan melanggar arahan mufti negeri dengan menyertai kumpulan yang terpesong dari ajaran Islam itu.
Mahkamah Mahkamah Rendah Syariah di Besut hari ini membebas tiga anak Ayah Pin daripada tuduhan melanggar arahan mufti negeri dengan menyertai kumpulan yang terpesong dari ajaran Islam itu.
Ini berikutan permohonan pihak pendakwa untuk menarik balik tuduhan tersebut terhadap anak-anak Ayah Pin atau AriffinMohammad, iaitu Khairuddin, 20, Mohd Razlin Shah, 19 and Khairul Nadia, 18.
Ketika dihubungi di Besut hari ini, Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah berkata beliau mengguna budibicaranya untuk menarik balik tuduhan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
"Selepas berbincang dengan pegawai saya, saya mengambil keputusan untuk menarik balik tuduhan terhadap ketiga-tiga mereka atas alasan tertentu, yang tertakluk di bawah budibicara saya," katanya.
Menurut Mustafar, kes tersebut telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu dan akan didengar pada 4 Ogos depan.
Katanya, kesemua 22 pengikut wanita dibenarkan ikatjamin sebanyak RM2,000 tiap seorang, antaranya kerana mereka mempunyai tanggungan untuk menjaga anak.
"Seorang daripada mereka, Kamariah Ali, 54, akan ditahan reman di penjara kerana beliau tidak diwakili di mahkamah. Kami belum lagi mengenakan tuduhan terhadapnya kerana kami masih menjalankan siasatan.
Kesemua tertuduh kecuali Kamariah dan Daud Mamat, 74, diwakili peguam Zukri Yusof hari ini.
"Jika ada bukti mencukupi, dia mungkin didakwa kerana mengakui telah meninggalkan Islam mengikut Seksyen 7 yang membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali," katanya.
Kesemua 44 pengikut Ayah Pin, tidak termasuk Kamariah, didakwa melanggar fatwa negeri dengan menyertai ajaran Ayah Pin yang terpesong dari ajaran Islam, mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah(Takzir) 2001.
Kesalahan tersebut membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Kertas tuduhan dipinda
Semua mereka dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Besut pada 21 Julai
lalu dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Dalam pertuduhan itu, mereka didakwa berada di kawasan kediaman Ayah
Pin di Batu 13, Mukim Kampung Tenang, Hulu Besut pada kira-kira jam 10.30 pagi 20 Julai lepas, dan melanggar perintah mufti yang dikeluarkan melalui fatwa
supaya orang ramai menghindari daripada terlibat dengan ajaran itu.
Daripada sejumlah 23 pengikut lelaki Ayah Pin, kata Mustafar, lima daripada mereka dibenarkan ikatjamin kerana kerana faktor usia atau dikategorikan sebagai warga emas. Manakala 18 lagi ditahan reman di Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan.
Beliau berkata, pihak pendakwa memohon supaya mereka tidak dibenarkan ikatjamin atas alasan mereka mungkin melarikan diri atau kehadiran mereka boleh menganggu ketenteraman awam.
Pihak pendakwa juga, katanya, telah meminda kertas tuduhan untuk memasukkan fatwa tahun 1997. Adalah difahamkan pengikut Ayah Pin dari negeri lain, telah mengumpul hampir RM50,000 untuk membayar wang ikatjamin.
Seorang peguam Syarie telahpun dilantik oleh biro bantuan guaman dan Majlis Peguam untuk mewakili penduduk terbabit, tetapi tidak dapat dihubungi hari ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.