Para peguam yang mewakili Che Minah Remeli, pemilik tanah di mana terletaknya 'Kerajaan Langit' di Jerteh, Terengganu, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa yang merobohkan binaan raksasa di perkampung Ayah Pin Ahad lalu.

Mereka akan memfailkan tindakan komital (kerana menghina mahkamah) terhadap pihak berkuasa terbabit.

Pejabat Tanah Besut yang mengarahkan binaan raksasa itu dirobohkan selepas membatalkan pemilikan tanah tersebut pada 31 Julai didakwa telah melanggar perintah penangguhan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 21 Jun lalu.

Che Minah, 60, adalah isteri pertama Ayah Pin atau nama penuhnya Ariffin Mohammad, 65, yang mengetuai kumpulan 'Kerajaan Langit' itu.

Beliau menerima notis daripada pejabat tanah pada 28 April lalu yang memberi tempoh kepadanya selama 30 hari untuk merobohkan binaan tersebut yang antaranya berbentuk kendi dan kapal mengikut Seksyen 128 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

Apabila Che Minah tidak berbuat demikian, pejabat tanah menghantar surat tunjuk sebab bertarikh 18 Julai, mengikut Seksyen 129 KTN, yang mengarahkannya menghadiri satu siasatan untuk menjelaskan mengapa beliau tidak mematuhi arahan tersebut.

Para peguamnya yang diketuai Haris Mohamed Ibrahim berkata: "Kami telah menghantar sepucuk surat pada 20 Julai, yang menyatakan bahawa surat tunjuk sebab itu menghina perintah mahkamah dan hendaklah ditarik balik serta-merta.

"Kami memberi mereka tempoh sehingga 23 Julai untuk berbuat demikian, tetapi tidak mendapat apa-apa jawapan dari mereka. Tiba-tiba sahaja, ia (tindakan meroboh binaan) dilakukan (pada 31 Julai)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Haris menyifatkan surat bertarikh 18 Julai itu sebagai 'susulan' kepada arahan awal supaya binaan terbabit dirobohkan yang mana Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah penangguhannya.

"Pejabat tanah kini tidaklah boleh mendakwa yang notis tersebut adalah susulan kepada satu tindakan baru kerana perintah penangguhan itu sudahpun berkuatkuasa," katanya.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dilaporkan semalam sebagai berkata, Pejabat Tanah Besut tidak menerima sebarang salinan perintah tersebut, seperti yang ditetapkan mengikut prosedurnya.

Langgar syarat guna tanah

Pejabat tanah berkenaan mengambil tindakan tersebut selepas mengadakan siasatan yang dijadualkan pada pagi 31 Julai (hari kerja di Terengganu), berdasarkan kepada surat tunjuk sebab bertarikh 18 Julai, yang mengarahkan Che Minah menghadirinya.

Sepucuk surat kemudiannya dikeluarkan serta-merta, yang ditandatangani oleh Penolong Pentadbir Tanah, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, yang menyatakan keputusan 'membatalkan sementara pemilikan tanah tersebut" mengikut KTN kerana 'pelanggaran syarat penggunaannya".

Keputusan itu berkaitan dengan pembinaan struktur raksasa yang dibina sejak 1998 dengan harga berjuta-juta yang dianggap melanggar syarat penggunaan tanah (untuk tujuan pertanian sahaja).

Dalam salinan surat tersebut yang diperolehi malaysiakini, Mohd Iskandar berkata, siasatan itu telah dijalankan secara sebelah pihak (tanpa kehadiran Che Minah).

"Selepas siasatan tersebut selesai, saya memutuskan pengambilan sementara (tanah tersebut) mengikut Seksyen 129 (4)(c) KTN," katanya.

Ketika dihubungi hari ini, orang yang menjawab telefon Mohd Iskandar, enggan memperkenalkan dirinya dan mendakwa Mohd Iskandar sedang berada di perkampungan Ayah Pin untuk menyelia kerja-kerja meroboh binaan di situ dan meminta malaysiakini memanggil balik malam ini.

Letak surat depan pintu

Surat bertarikah 31 Julai itu diserahkan dengan tangan kepada seorang penghuni perkampungan tersebut yang terletak di Kampung Batu 13, Hulu Besut, beberapa minit sebelum bermulanya kerja-kerja meroboh binaan raksasa di situ.

Ketika dihubungi semalam, seorang jiran Che Minah di perkampungan itu, mendakwa surat tersebut 'diserahkan' kepadanya kerana Che Minah tidak ada ketika itu.

Jiran tersebut yang mahu dikenali sebagai Che Man, berkata seorang pegawai pejabat datang mencari Che Minah untuk menandatangani satu dokumen.

"Apabila dia tidak dapat mencarinya (Che Minah), pegawai itu mencari anak-anaknya, tetapi saya menasihatkan mereka supaya jangan menandatangani apa-apa.

"Saya memberitahu mereka, ia adalah hal perundangan dan hanya Che Minah sahaja yang ada kuasa berbuat demikian kerana tanah itu miliknya," tambahnya.

Pegawai tersebut kemudiannya memintanya menerima surat tersebut, tetapi beliau juga enggan berbuat demikian.

"Jadi, diletakkannya(surat itu) di depan pintu rumah saya dan mengambil beberapa gambar. Dia kemudiannya mengeluarkan arahan supaya dimulakan kerja meroboh (binaan di situ)," katanya.

Dalam afidavit 5 Jun lalu dalam permohonan supaya dibatalkan perintah meroboh binaan di situ, Che Minah mendakwa ada usaha-usaha untuk menukar status penggunan tanah itu dari pertanian kepada bangunan tetapi telah ditolak walaupun kerajaan negeri secara prinsipnya telah meluluskannya lima tahun lalu. Terjemahan / berita asal