Sudah hampir tiga minggu sejak Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohamad menghilangkan diri daripada perkampungannya di Kampung Batu 13 dekat Jerteh di Hulu Besut. Isterinya pertamanya, Che Minah Remeli, juga turut 'hilang'.

Tiada seorangpun, termasuk tiga orang isterinya lagi, yang mengetahui di mana Ayah Pin yang hilang selepas perkampungan tersebut diserbu oleh Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Terengganu pada 20 Julai lalu.

Pihak berkuasa telah mempertingkatkan lagi usaha mengesan Ayah Pin yang kini menjadi orang yang paling dikehendaki di Terengganu. Polis di negeri-negeri jiran turut melancarkan operasi mencari Ayah Pin.

Manakala para pengikutnya tetap dengan pendirian bahawa mereka dan Ayah Pin tidak melakukan sebarang kesalahan. Seramai 45 pengikutnya didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu semalam.

Tiga lagi isteri Ayah Pin Che Jaharah Awang, Ruzilan Mokhtar dan Nik Kamariah Nik Pah turut didakwa di mahkamah yang sama mengikut Seksyen 10 Enakman Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu (Takzir) 2001.

Ruzilan berkata, suaminya sentiasa menasihatkan para pengikutnya supaya bersabar dan jangan bertindak agresif apabila menghadapi masalah masalah.

"Beliau sentiasa menasihatkan kami supaya menjadi rakyat yang baik dan mematuhi undang-undang. Beliau juga sentiasa menasihatkan kami supaya bertenang sekiranya diganggu bagi mengelak masalah yang lebih besar," katanya kepada malaysiakini ketika ditemui di perkampungan tersebut malam tadi.

Che Jaharah berkata, kali terakhir beliau melihat suaminya ialah pada hari Ahad, kira-kira 24 jam selepas perkampungan itu diserang oleh orang yang tidak dikenali, pada awal pagi 18 Julai lalu.

"Sejak itu, saya tidak lagi melihatnya atau mendengar sebarang berita mengenainya. Saya harap beliau dalam keadaan selamat," katanya sambil tersenyum dan yakin Ayah Pin akan pulang tidak lama lagi.

Serah pada tuhan

Bagaimanapun, yang paling membimbangkan Che Jaharah sekarang khabar angin yang mengatakan kesemua rumah di perkampungan tersebut akan turut dirobohkan, selepas pihak berkuasa merobohkan kesemua binaan lain di situ.

Beliau bimbangkan nasib yang akan menimpa 100 penghuni di situ jika rumah mereka di situ dirobohkan kerana tiada tempat lain untuk mereka berteduh.

"Inilah masalah yang mengusarkan saya sekarang kerana mereka tiada tempat lain untuk menumpang. Mereka telah menjual hartabenda mereka untuk datang tinggal di situ sejak bertahun-tahun lalu," katanya.

Isteri termuada Ayah Pin hanya berdiam diri mendengar kedua-dua madunya bercerita.

"Kami meninggalkan Kampung Batu 13 pada 22 Julai lalu kerana kami diarahkan meninggalkan tempat ini. Jadi, saya pergi ke Tumpat (Kelantan) dan tinggal di sana.

"Ianya bertujuan untuk melindungi perkampungan ini dan nyawa kami. Semua penghuni dalam ketakutan selepas perkampungan ini diserang orang tidak dikenali sebelum ini.

Ketiga-tiga isteri Ayah Pin itu berkata, beliau tidak gusar dengan tindakan yang bakal diambil terhadap mereka.

"Kami menyerahkan semuanya kepada Tuhan. Tiada apa lagi yang boleh lakukan. Kami percaya yang kami tidak melakukan sebarang kesalahan, tetapi pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu, dan mereka perlu membuktikannya," kata Che Jaharah.

"Kami hanya boleh merayu kepada mereka, terutama kepada pejabat tanah Besut, supaya tidak merobohkan rumah kami. Kami benar-benar merayu kepada mereka supaya jangan melakukannya," katanya. Terjemahan/ Berita asal