Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kes kilang sarang burung ditetapkan 17 Ogos
Diterbitkan:  Jul 14, 2017 6:01 PM
Dikemaskini: Aug 23, 2023 5:02 AM
  • Nota editor: Pada 1 Julai 2019, Albert Tei dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen Semenyih.


Mahkamah Majistret Klang menetapkan 17 Ogos sebagai tarikh seterusnya bagi mendengar kes terhadap Maxim Birdnest Sdn Bhd, melibatkan 105 pertuduhan di bawah Akta Buruh 1955 dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Buruh Selangor, Mohd Asri Abd Wahab berkata majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan tarikh itu selepas sesi pengurusan kes semalam.

"Wakil syarikat itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan dan meminta perbicaraan.

"Majistret kemudian menetapkan ikat jamin RM500 bagi setiap pertuduhan, berjumlah RM52,500 untuk 105 pertuduhan," kata Mohd Asri kepada Malaysiakini, sambil menambah pegawai pendakwaraya Siti Nur Alifah Hairuddin bertindak bagi pihak Jabatan Tenaga Kerja Selangor.

Beliau juga menjelaskan bahawa pertuduhan itu telah dikenakan terhadap Maxims Birdnest sebagai sebuah syarikat dan bukan pemiliknya, Albert Tei, 29, seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"OKS (defendan) adalah Maxims Birdnest. Syarikat itu boleh diwakili di mahkamah oleh mana-mana pengarahnya, "katanya.

Pengarah Operasi Maxims Birdnest, Pak Wei Chee mewakili syarikat itu membabitkan tuduhan melibatkan kesalahan terhadap 11 pekerja asing Indonesia yang pertama kali disebut pada 15 Jun lalu.

Tei didakwa dengan 33 pertuduhan memotong gaji secara tidak sah di antara Disember tahun lalu hingga Februari tahun ini; 11 pertuduhan gagal menyediakan kontrak pekerjaan; 11 pertuduhan gagal menyediakan slip gaji; 22 pertuduhan gagal membayar gaji minimum sebanyak RM1,000 bagi Disember lalu dan Januari; serta 28 pertuduhan gagal membayar kerja lebih masa bagi bulan Disember dan Januari lalu.

Jika sabit kesalahan, Tei boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap pertuduhan, yang berjumlah lebih RM1 juta.

Beliau sebelum itu didakwa melakukan lima kesalahan di bawah kedua-dua akta itu membabitkan 11 pekerja Indonesia.

Para pekerja berkenaan bekerja di kilang lima tingkat milik Tei yang terletak di Lorong Gudang Nenas 1, Jalan Pasar, Klang.

Malaysiakini dalam laporan khas bersama majalah Tempo dari Indonesia, sebelum ini membongkar isu eksploitasi terhadap pekerja asing di kilang berkenaan.

Mohd Asri enggan mengulas ketika ditanya sama ada kilang itu masih dibenarkan beroperasi seperti sedia kala, sambil menyebut ia tiada kaitan dengan kes yang sedang dibicarakan.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS