Paling Popular
Terkini

Pakatan Harapan (HARAPAN) akan terus dengan amalan membuat keputusan melalui persetujuan bersama walaupun struktur kepimpinannya berubah.

Presiden HARAPAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tidak timbul isu siapa yang lebih kanan dalam kepimpinan tertinggi gabungan empat parti pembangkang itu.

"Kami (mengekalkan model) konsensus," katanya kepada media di Kajang hari ini.

Dr Wan Azizah sebelum itu ditanya mengenai kritikan dan tanda tanya mengenai ketua sebenar HARAPAN.

Pada 14 Julai lalu HARAPAN mengumumkan barisan kepimpinan dan logonya selepas tertangguh beberapa kali.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi manakala Dr Wan Azizah menjadi presiden. Bekas orang kepercayaan Dr Mahathir - yang kemudian menjadi musuh ketatnya sebelum kembali bekerjasama - Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dipilih sebagai ketua umum.

Mengapa perlu maaf

Kedudukan itu menyebabkan timbul persoalan mengenai siapakah yang menjadi pemimpin sebenar yang membuat keputusan muktamad untuk HARAPAN.

Sementara itu Dr Wan Azizah turut mengecam Datuk Seri Najib Razak atas tindakan perdana menteri mempersendakan Langkah Kajang pada 10 Julai lalu.

"Saya fikir itu tak eloklah. Saya tidak fikir dia patut membuat jenaka daripada ketidakadilan," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan Najib tetap perlu menjawab tuduhan skandal 1MDB yang dikaitkan dengannya.

"Dia boleh sindir apa pun, (ttetapi) kita nak (Najib) kata jawab 1MDB. Ayuh beritahu kami," katanya.

Menggunakan Twitter, Najib memuat naik gambar papan tanda stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kajang.

Imej itu diiringi kata-kata: "The real Kajang Move. Coming to you in seven days" (Langkah Kajang sebenar. Akan datang kepada anda dalam 7 hari).

Langkah Kajang merujuk kepada tindakan PKR mengadakan pilihan raya kecil di Kajang dalam usaha mereka meletakkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor dan mengetepikan Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2014.

Walaupun perdana menteri tidak menyebut sebarang nama, pengguna media sosial memahami ia adalah sindiran kepada Anwar - yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh - dan isterinya, Dr Wan Azizah.

Ditanya sama ada PKR perlu meminta maaf atas insiden Langkah Kajang itu Dr Wan Azizah berkata apa yang berlaku sudah berlalu.

"Mengapa saya perlu (meminta maaf)?" katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS