Kementerian nafi bekas tentera punca peningkatan jenayah
Kementerian Pertahanan hari ini menolak dakwaan beberapa akhbar kononnya anggota tentera yang bersara atau diberhentikan perkhidmatannya turut menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata penglibatan tentera dalam kes jenayah sangat kecil dan kementerian terpaksa melaksanakan proses pemberhentian ke atas tentera atas sebab-sebab kesihatan atau hukuman yang mewajibkan anggota berkenaan diberhentikan.
Shafie menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan wakil Barisan Nasional (BN)-Batu Pahat, Siam Kasrin pada Sidang Dewan Rakyat, penggal ketiga hari ini.
Dewan Rakyat diberitahu seramai 25,022 anggota tentera pelbagai pangkat bersara dalam tempoh lima tahun sehingga tahun 2000. Manakala 2,104 diberhentikan atas tindakan tatatertib, iaitu 8.4 peratus daripada bilangan tentera yang berhenti daripada perkhidmatan pertahanan.
Siam dalam soalannya berkata dasar persaraan awal anggota tentera boleh menyumbang kepada peningkatan kegiatan jenayah seperti tragedi di Sauk dan beliau meminta kementerian menjelaskan langkah pencegahan kepada masalah itu.
Shafie, yang juga wakil BN, Semporna, berkata kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh persaraan anggota tentera sepertimana yang wujud dalam perkhidmatan awam.
Ketika menjawab soalan tambahan wakil BN itu, beliau berkata ini kerana dasar Kementerian Pertahanan memerlukan anggota yang cekap dan sihat dari segi mental dan fizikal.
Beliau menjelaskan dasar pemberhentian dan lanjutan perkhidmatan anggota lain-lain pangkat selepas tamat tempoh khidmat 10,15 dan 18 tahun adalah secara sukarela. Manakala persaraaan selepas 21 tahun adalah wajib.
Sementara wakil PAS-Besut, Hassan Mohamed mempersoal langkah kerajaan membenarkan persaraan awal menyebabkan bekas anggota keselamatan itu "menghadapi dilema" dan kesukaran mencari pekerjaaan yang baru.
Jelas Shafie, "Selepas 15 tahun berkhidmat, kita ada sistem peralihan, latihan untuk pesara tentera dengan sijil atau diploma."
Beliau menegaskan kerajaan turut memberi peluang kedua seperti kepada pesara tentera yang berminat memulakan perniagaan dengan menyediakan kemudahan pinjaman.
Sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini akan tamat pada 2 Ogos depan.

