Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PKR bidas Jamal bawa ‘Kak Wan’ bersiar-siar
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 3:36 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Pemuda PKR hari ini membidas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang membawa beberapa replika 'ketua pembangkang' Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyertai rombongannya bersiar-siar menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).

Naib Ketua Pemuda PKR, Tan Kar Hing berkata tingkah-laku pemimpin Gerakan Baju Merah itu sungguh kurang ajar dan menjijikkan.

“Jamal sepatutnya berasa malu sebagai pemimpin Umno, dan bukan sebaliknya cuba mempergunakan isu ini.

“Jamal seorang yang ghairah dengan gimik politik demi mendapat perhatian orang ramai tanpa mengambil kira soal prinsip.

“Rekod silam Jamal juga menggambarkan beliau seorang yang cetek pemikiran politik dan hanya bertindak sebagai budak suruhan pimpinan Umno atasan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jamal dengan diiringi beberapa pengikutnya membawa replika ADUN Kajang itu menaiki tren MRT dari stesen Stadium Kajang.

Pada replika itu tertulis ayat: Tq PM kerana menyediakan perkhidmatan MRT dari Kajang ke Sungai Buloh. Mudah la Kak Wan menziarahi suami Kak Wan di Sungai Buloh.

Ia jelas suatu sindiran buat Dr Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini ditahan di penjara Sungai Buloh.

Rendah moral

Mengulas lanjut, Tan yang juga adalah ADUN Simpang Pulai, berkata tindakan Jamal itu sekadar mencari publisiti murahan dalam persiapan untuk mencabar kedudukan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno.

“Jika Jamal betul berniat untuk berebut jawatan berkenaan, nasihat saya kepada Jamal supaya turun gelanggang untuk berhadapan secara terus dengan penyandang jawatan tersebut, tetapi bukan sebaliknya mencari publisiti murahan,” katanya.

Mengulas isu yang sama Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman berkata tindakan Jamal itu adalah satu prilaku biadap dan rendah moral.

“Ini menunjukkan bahawa Jamal tidak terdidik dengan kesopanan dan kesusilaan malah jauh menyimpang dari segi adab manusia bertamadun.

“Seharusnya Jamal mempamerkan sikap profesional dan beradap kerana beliau bercita-cita untuk menjadi Ketua Pemuda Umno.

“Namun sikap yang ditunjukkan bukan sahaja memalukan malah langsung tidak melayakkan diri beliau bergelar pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan media.

Syed Badli juga mempersoalkan sama ada Pemuda Umno sanggup mengangkat individu yang rendah moral sebagai pemimpin mereka.

Katanya, Jamal merasakan masih ada didalam sanubari beliau rasa adab dan kesopanan, beliau perlu memohon maaf kepada Dr Wan Azizah.

“Namun jika sebaliknya, saya gesa pemimpin tertinggi Umno untuk tampil menasihatkan Jamal supaya bertindak waras.

“Jika langsung tiada apa-apa maklum balas, maka jelaslah Umno ketandusan pemimpin berwibawa dan bermoral, maka wajarlah Umno ditolak pada pilihanraya akan datang,” katanya.

Aksi mempersenda pasangan terbabit sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru.

Pada 10 Julai lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menyentuh isu sama melalui Twitternya.

Dengan memuat naik sekeping gambar papan tanda stesen MRT Kajang, Najib mencatat: "The real Kajang Move. Coming to you in seven days" (Langkah Kajang sebenar. Akan datang kepada anda dalam 7 hari).

Membalas kenyataan itu, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR secara sinis berterima kasih kepada perdana menteri.

Langkah Kajang merujuk kepada usaha dilakukan PKR untuk mengetepikan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada jawatannya sebagai menteri besar dan menggantikannya dengan Dr Wan Azizah.

Bagaimanapun, ia gagal apabila akhirnya Khalid digantikan oleh ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Azmin Ali.

Lihat Komen
ADS