Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Krisis kehakiman '88: Mahathir laksana titah Agong
Diterbitkan:  Jul 29, 2017 9:05 PM
Dikemaskini: 1:28 PM

Setakat maklumat yang ada pada Tan Sri Abu Talib Othman, krisis kehakiman yang menggemparkan seluruh negara pada 1988 dulu tidak lain adalah berpunca daripada hakim-hakim sendiri.

Berkongsi ceritanya, bekas peguam negara itu berkata, satu pertemuan di kalangan hakim mahkamah agung dan mahkamah tinggi memutuskan ketua mereka ketika itu, Tun Salleh Abbas, wajar menghadap Yang di-Pertuan Agong kerana mengadu ada "serangan" oleh badan eksekutif ke atas badan perundangan negara.

Pertemuan itu diadakan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkan beberapa pindaan perlembagaan di parlimen untuk melucutkan "kuasa perundangan persekutuan" daripada mahkamah dan dengan itu badan berkenaan hanya mempunyai kuasa berdasarkan apa yang diizinkan parlimen.

Dalam surat - yang ditulis sendiri oleh Salleh - kepada Agong, ketua hakim negara itu menyatakan keluhan hakim-hakim terbabit terhadap tindakan badan eksekutif ke atas badan kehakiman negara.

"Aduan itu nampaknya menyebabkan rasa kurang senang Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) Sultan Iskandar Sultan Ismail.

"Baginda kemudian merujuk memorandum daripada Salleh kepada perdana menteri dengan titah tindakan sewajarnya perlu diambil berdasarkan aduan berkenaan," kata Abu Talib kepada Malaysiakini dalam satu temu bual.

Sultan Iskandar yang dimaksudkan Abu Talib menjadi Agong ketika itu ialah Sultan Johor.

Pada 26 Julai lalu Dr Mahathir menegaskan beliau tidak bertanggungjawab atas krisis kehakiman yang berlaku 29 tahun lalu.

"Itu bukan saya, aduan datang daripada (Yang di-Pertuan) Agong, tetapi peguam negara ketika itu tidak mahu menyebut Agong, sebaliknya dia menggunakan nama saya dan memberi alasan penubuhan tribunal yang tidak saya diketahui," katanya.

Tak ada pilihan

Untuk rekod, Abu Talib adalah peguam negara ketika krisis berkenaan berlaku dan Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Krisis berkenaan menyaksikan sebuah tribunal ditubuhkan dan Salleh akhirnya dipecat atas alasan beliau terbabit dalam salah laku.

Ramai berpendapat insiden itu menjadi titik tolak hilangnya kebebasan badan kehakiman di negara ini.

Abu Talib berkata tribunal itu ditubuhkan mengikut Fasal 125(3) dan 125(4) Perlembagaan Malaysia yang jelas menyatakan, seseorang hakim tidak boleh disingkirkan atas apa saja sebab tanpa kecuali melalui tribunal.

Tribunal itu, kata Abu Talib, hanya boleh ditubuhkan melalui cadangan dibuat perdana menteri kepada Agong.

"Itulah satu-satunya peranan Dr Mahathir dalam penyingkiran Salleh (gambar). Beliau (Dr Mahathir) tak ada pilihan.

"Apa yang boleh dibuat oleh perdana menteri selain mentaati titah Agong," katanya.

Abu Talib juga memberitahu beliau tidak ada pilihan selain mengikut arahan yang diberikan.

"Seperti yang saya sebut, aduan terhadap hakim-hakim itu bukan dimulakan atau dibuat oleh Dr Mahathir. Krisis itu - seperti yang saya katakan - berpunca daripada hakim-hakim sendiri," katanya.

Ditugaskan untuk menyediakan dokumen dan mengendalikan siasatan, kata Abu Talib, malangnya Salleh tidak muncul.

"Keadaan mungkin menjadi sebaliknya jika beliau hadir. Salleh boleh memberi penjelasan tetapi beliau memilih untuk tidak hadir. Jadi, salah siapa?" katanya.

Bukan bela Mahathir

Menurut Abu Talib, semua langkah yang diambil ketika itu dibuat mengikut perlembagaan.

Tribunal kedua yang ditubuhkan untuk menyiasat lima hakim mahkamah agung yang memberikan perintah interlokutori kepada Salleh untuk tribunal pertama juga dibuat selaras dengan perlembagaan.

Ekoran itu lima hakim terbabit digantung tugas dan kemudian dua daripada mereka dipecat.

Ditanya sama ada nama Agong diabaikan atau sebaliknya semasa pendengaran itu, Abu Talib mengesahkan bahawa ia memang disebut.

"Ia telah disebutkan. Hakikatnya penyerahan memorandum itu kepada Agong disebutkan (semasa tribunal).

"Saya rasa satu salinan surat kepada Agong - yang ditandatangani oleh Salleh - telah dibentangkan semasa pendengaran tribunal," katanya.

Ditanya mengapa Dr Mahathir tetap dipersalahkan walaupun tidak ada kaitan dengan krisis itu, Abu Talib berkata, kemungkinan ia adalah kerana politik.

"Saya di sini bukan untuk membela Dr Mahathir (tetapi) keputusan menyingkirkan Salleh dibuat atas cadangan tribunal kepada Agong," katanya.

Untuk rekod, penjelasan seumpama itu oleh Dr Mahathir bukanlah kali pertama.

Pada 13 Jun 2015 bekas perdana menteri itu menjelaskan beliau terpaksa mengambil tanggungjawab atas pemecatan berkenaan kerana Agong ketika itu mahu Salleh disingkirkan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS