Malaysiakini
BERITA

Krisis kehakiman 1988: Aduan dari Agong, kata Mahathir

Alyaa Azhar

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Jul 2017, 9:55 pagi

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menafikan bahawa beliau bertanggungjawab di sebalik krisis kehakiman 1988.

Krisis perlembagaan 1988 menyaksikan pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas ketika pentadbiran Mahathir. Ramai berpendapat bahawa penyingkiran Salleh adalah titik di mana badan kehakiman negara ini kehilangan kebebasannya.

Disoal hari ini adakah benar bahawa beliau dan Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman ketika itu adalah di sebalik pindaan kepada perlembagaan persekutuan pada tahun 1988, Mahathir mengulangi bahawa beliau tidak bertanggungjawab.

"Itu bukan saya, aduan datang dari (Yang di-Pertuan) Agong.

"Tetapi Peguam Negara ketika itu tidak mahu menyebut Agong, sebaliknya dia menggunakan nama saya dan memberi alasan penubuhan tribunal yang tidak diketahui saya," kata Mahathir pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini.

Di sebalik itu, Mahathir mengeluh bahawa orang ramai masih menuduhnya sebagai punca ketua hakim negara dan beberapa hakim lain disingkirkan.

"Bukan saya. Malangnya kerana peguam negara masa itu tidak mahu menyebut (Yang di-Pertuan) Agong.

"Dia kata bahawa saya yang membuat aduan tetapi saya tidak mengadu," kata Mahathir.

Salleh, pada tahun 1988, dihadapkan ke tribunal kehakiman sebelum dipecat atas dakwaan salah laku.

Lima hakim Mahkamah Agung yang membenarkan perintah interim terhadap tribunal itu sama ada dipecat atau digantung.

Dr Mahathir dilapor mempersalahkan Almarhum Sultan Iskandar Ismail kerana menggunakannya apabila Seri Paduka dikatakan murka dengan Salleh yang membuat aduan mengenai bunyi bising akibat kerja-kerja pengubahsuaian dari kediaman sultan Johor itu.

Putera Sultan Iskandar, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar, bagaimanapun berkata bahawa Mahathir "menggunakan" ayahandanya untuk menyingkirkan Salleh.

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.