Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Hampir tiga bulan berlalu selepas PKR mengarahkan anggotanya meletak jawatan daripada lantikan kerajaan Kelantan namun arahan itu hampir belum terlaksana sama sekali.

Sesekali alasan yang diberi agak meragukan, dan pada masa sama PAS pula nampak selesa dengan penyertaan pemimpin setempat PKR kepada kerajaan negeri ketika kerjasama antara kedua-dua parti sudah terkubur secara rasmi.

Semalam Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah tampil memberi penjelasan.

Katanya anggota PKR yang mendapat jawatan melalui lantikan politik di Kelantan masih menunggu tunggakan bayaran yang sepatutnya dijelaskan kerajaan negeri.

Anggota parimen Permatang Pauh itu menjelaskan sebelum ini semua penjawat lantikan politik itu menggunakan wang sendiri bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Sejak bersama kerajaan Kelantan, mereka menggunakan wang sendiri untuk peruntukan kepada rakyat, jadi sekarang mereka menunggu pembayaran semula tuntutan yang telah dibelanjakan,” katanya kepada Malaysiakini di parlimen semalam.

Biro Politik PKR pada 16 Mei lalu mengeluarkan arahan supaya semua penjawat lantikan politik di Kelantan meletakkan jawatan ekoran berakhirnya kerjasama politik (tahhauf siyasi) antara parti itu dengan PAS.

Malaysiakini melaporkan arahan itu berkuat kuasa serta-merta.

Buat tak bincang

Terdahulu bekas senator dan peguam, Saiful Izham Ramli, berkata PKR perlu mengeluarkan arahan supaya anggota parti meletak jawatan di Kelantan bagi mengelak masyarakat melihat mereka mengutamakan kepentingan peribadi melebihi rakyat.

Bagaimanapun untuk rekod, wakil rakyat PAS juga kekal dalam kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali di sebalik berakhirnya kerjasama rasmi dengan PKR.

Semalam Ketua Komunikasi PKR Kelantan Mohammad Azihan Che Seman mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan beberapa anggota parti itu daripada kerajaan negeri.

Dalam kenyataan itu Mohammad Azihan memberitahu Majlis Pimpinan PKR Kelantan mengadakan mesyuarat khas pada 17 Mei dan 5 Jun lalu dan mengambil ketetapan bersetuju menerima keputusan Biro Politik PKR Pusat.

Katanya, keputusan untuk meletak jawatan dipersetujui untuk dilaksanakan pada 31 Julai 2017.

Bagaimanapun Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir mendakawa kenyataan itu dibuat tanpa berbincang dengan kepimpinan negeri terlebih dulu.

Menurut Dr Wan Azizah pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan biro politik berhubung perkara itu.

“(Mesyuarat itu sebab) kita lihat PAS mengambil sikap yang lembut terhadap kita, sebab menteri besar Kelantan kata mereka memerlukan PKR bersama-sama di persekitaran politik Kelantan,” katanya.

Tahu PRU makin hampir

Sementara itu Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Datuk Johari Abdul ketika ditemui Malaysiakini hari ini pendirian parti itu adalah jelas dan tetap, iaitu meletak jawatan daripada lantikan politik kerajaan negeri.

"Mereka (cuma) minta tangguhkan hingga 31 Ogos akibat masalah teknikal," katanya.

Pengerusi Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa pula melihat keengganan anggota PKR melepaskan jawatan lantikan politik di Kelantan adalah bukti mereka terlalu bergantung kepada PAS.

Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno berkata peletakan jawatan lantikan politik itu sengaja dilambat-lambatkan kerana PKR serba salah terhadap PAS, selain menyedari pilihan raya umum (PRU) akan berlangsung tidak lama lagi.

“Ada dua faktor (mereka belum meletak jawatan) iaitu serba salah nak ikut PKR atau PAS, manakala sebahagian lagi pula melambatkan masa sebab PRU dah dekat.

"Dia main dengan masa, tapi isunya ialah itu menunjukkan ketidaktentuan PKR Kelantan.

“Pada hemat saya, kalau tidak bergantung dengan PAS sebagai talian hayat, PKR sudah mati.

"PKR tak punya sebarang kekuatan tanpa bantuan PAS, kalau mereka keluar mereka akan terkubur awal sebelum PRU,” katanya.

Lihat Komen
ADS