Paling Popular
Terkini

Jangan hadkan polemik tahaluf siyasi PAS dan PKR setakat di Selangor saja.

Satu lagi negeri yang penting tetapi seakan dilupakan dalam isu tamatnya kerjasama politik antara kedua-dua parti ialah Kelantan.

Bekas senator PKR, Saiful Izham Ramli, berkata parti itu perlu mengarahkan semua anggotanya yang mendapat lantikan politik daripada Kota Darulnaim meletakkan jawatan.

Dengan itu, katanya, barulah rakyat melihat bahawa PKR meletakkan kepentingan rakyat dan prinsip lebih utama berbanding keperluan peribadi.

"Kalau nak melihat PAS mengarahkan pemimpin mereka yang mendapat lantikan politik di Selangor meletakkan jawatan, PKR kena mulakan langkah dulu untuk menunjukkn kita ada prinsip dalam konteks melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Saiful Izham diminta mengulas mengenai perkembangan semasa membabitkan hubungan kerjasama PKR dan PAS yang secara rasmi berakhir selepas ia diluluskan Majlis Syura Ulama baru-baru ini.

Ekoran keputusan itu, pelbagai pihak berpendapat PAS tidak lagi wajar bersama dengan PKR dalam kerajaan negeri Selangor walapun mereka menjadikan maslahah rakyat sebagai alasan untuk kekal dengan kedudukan yang ada.

Selain jawatan exco, pemimpin dan anggota PAS juga dilantik ke beberapa jawatan dalam kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Keputusan menamatkan kerjasama politik itu juga menyaksikan PAS akan berdepan dengan PKR dalam pilihan raya umum akan datang apabila mereka mengumumkan untuk bertanding di beberapa kerusi yang kini diwakili bekas rakan mereka itu.

Tetap boleh berkhidmat

Pada masa sama PAS kelihatan berbangga dengan tindakan kerajaan Kelantan mengekalkan anggota PKR yang dilantik secara politik di negeri itu.

Memetik Naib Presiden PAS merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Harakahdaily melaporkan, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk memecat penyelia Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di situ.

Bagaimanapun katanya, pelantikan itu kekal sehingga pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Saiful Izham berkata, isu PKR mahu berkhidmat kepada rakyat tidak timbul walaupun mereka tiada jawatan dalam kerajaan Kelantan.

"Bagi saya ada jawatan atau tidak, kita masih boleh laksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat.

"Kita boleh masih berkhidmat kepada rakyat tanpa jawatan lantikan politik," katanya.

Menurut bekas anggota Majlis Pimpinan Tinggi PKR itu, tanpa jawatan pun mereka masih tetap boleh bersama-sama mengajak rakyat berubah.

"Ada jawatan atau tidak, bukan masalah. Jawatan ini hanya sementara saja, apa lagi jawatan lantikan. Ia bukan singgahsana kemegahan yang kita nak tunjuk kecuali kita nak berpaut pada jawatan itu sebab ada kepentingan peribadi," katanya.

Peguam itu juga menegaskan, sesebuah parti yang ada prinsip tidak boleh bersandar kepada "amanah rakyat" atau perkenan Sultan sebagai alasan untuk kekal dengan mana-mana jawatan.

Alasan berkenaan, katanya, hanya terpakai jika seseorang itu mendapat jawatan selepas dipilih rakyat.

"Kita tak perlu bertelagah, move on, biar rakyat tentukan siapa lebih berhak menjaga masa depan mereka pada PRU14 nanti," katanya.

Lihat Komen
ADS