Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PKR Kelantan bertegas belum ada kepastian mengenai peletakan jawatan bagi lantikan politik dalam kerajaan pimpinan PAS ketika kerjasama politik antara kedua-dua parti secara rasmi sudah terkubur.

Mendakwa perlu membincangkan strategi parti secara tertutup, Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata kenyataan dibuat ketua komunikasinya yang menjadi tular hari ini tidak dibincangkan terlebih dulu.

"Saya pun dah marah dia pagi ni. Dia (bertaraf) pimpinan, sepatutnya tak buat kenyataan (sebelum) dibincangkan," katanya kepada Malaysiakini.

Ab Aziz diminta mengulas kenyataan dibuat Ketua Komunikasi PKR Kelantan Mohammad Azihan Che Seman berhubung peletakan jawatan anggota parti itu daripada lantikan kerajaan negeri.

Dalam kenyataan itu Mohammad Azihan memberitahu Majlis Pimpinan PKR Kelantan mengadakan mesyuarat khas pada 17 Mei dan 5 Jun lalu dan mengambil ketetapan bersetuju menerima keputusan Biro Politik PKR Pusat.

Katanya, keputusan untuk meletak jawatan dipersetujui untuk dilaksanakan pada 31 Julai 2017.

"Sebagai melaksanakan arahan dan mematuhi keputusan yang telah dibuat, nama pimpinan PKR Kelantan yang telah mengangkat sumpah sebagai ahli majlis dengan ini bersetuju untuk meletakkan jawatan serta merta mulai hari ini," katanya merujuk kepada Bendahari Pemuda PKR Kelantan, Mohd Khairul Anuar Azhan yang dilantik menjadi anggota Majis Daerah Ketereh.

Letak tetap letak

Mohammad Azihan juga menyenaraikan enam pemimpin PKR Kelantan yang disenaraikan sebagai ahli majlis daerah tetapi belum mengangkat sumpah, membuat keputusan untuk tidak berbuat demikian.

Antara nama yang disebut Mohammad Azihan ialah Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Mohd Khairul Amin Abd Rahman dan Ketua Pemuda PKR Machang, Muhammad Arif Mukhtar.

Kata Ab Aziz pihaknya belum membuat sebarang keputusan berhubung isu peletakan jawatan berkenaan.

Untuk rekod Biro Politik PKR sudah membuat arahan berkuat kuasa serta-merta itu hampir tiga bulan lalu.

Sementara itu Mohammad Azihan berkata apa yang dinyatakannya sebelum ini cuma memaklumkan perkembangan semasa PKR Kelantan.

"Saya melampirkan maklumat mengenai penyerahan surat peletakan jawatan kepada cabang PKR dan dan enam lagi yang tidak hadir mengangkat sumpah pada hari angkat sumpah.

"Saya tak maklumkan kepada pimpinan negeri kerana mengikut apa yang saya faham, pengerusi negeri patutnya lebih maklum.

"Saya cuma maklumkan apa yang saya tahu dan cuma satu peratus saja meletak jawatan setakat ini," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Datuk Johari Abdul berkata pendirian parti itu adalah jelas dan tetap, iaitu meletak jawatan daripada lantikan politik kerajaan negeri.

"Mereka (cuma) minta tangguhkan hingga 31 Ogos akibat masalah teknikal," katanya.

Lihat Komen
ADS