Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ganesh seorang lelaki gelandangan yang hidup di jalanan sejak lapan buan lalu. Kebanyakan harinya dihabiskan di kaki lima di luar Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral.

Setiap hari, dia akan memandang tren LRT melewati stesen Plaza Rakyat.

Sejak bulan lalu, terdapat juga laluan Transit Aliran Massa (MRT) yang menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang yang menambah arus ulang-alik pengguna pengangkutan awam.

Namun demikian, rutin harian Ganesh di bawah binaan yang memakan belanja jutaan ringgit dalam kerja ubah suainya itu kekal tidak berubah.

Kadang-kadang, dia beratur mengambil bungkusan makanan yang diedarkan pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Mungkin itulah satu-satunya juadah mengisi perutnya.

Banyak juga malamnya dihabiskan dengan bersembunyi daripada pegawai penguakuasa atau risiko "disapu bersih" dari jalanan.

Kaya tambah kaya

Kira-kira jam 1 tengah hari, wartawan Malaysiakini bertemu Ganesh di tempat biasanya. Sejumlah 100 bungkusan makanan telah habis diedarkan dan para pegawai sedang bersiap untuk pergi.

Tiga puluh daripada 51 tahun usia Ganesh dihabiskan di Penjara Simpang Renggam. Sewaktu di dalam penjara, dia belajar menjahit pakaian.

Sekarang Ganesh mahukan peluang untuk menggunakan kemahirannya bagi mencari rezeki. Bagaimanapun Ganesh mempersoalkan peluang pekerjaan yang terlepas ke tangan para pekerja asing.

"Bukannya rakyat kita tak ada kemampuan tapi kenapa diketepikan? Mengapa disisihkan?

"Yang kaya semakin kaya, yang duduk tepi jalan makin (ramai) duduk macam ini," keluhnya lagi.

Ganesh mendakwa terdapat kejadian para gelandangan menerima bantuan kewangan sebanyak RM30 atau RM50 diberi sebagai "pertukaran untuk undi."

Menjelang Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tidak lama lagi, beberapa aktivis dan pengendali bantuan makanan mendapati ada peningkatan tindakan penguatkuasaan terhadap gelandangan.

Kumpulan Dapur Jalanan berkata sukarelawannya menyaksikan operasi "pembersihan" sekitar jam 12.30 tengah malam pada 1 Ogos 2017 lalu, melibatkan para pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Luang masa melawat

Kumpulan Dapur Jalanan dalam kenyataannya berkata komuniti gelandangan tidak harus dilayan sebagai penjenayah hanya kerana mereka mahu meneruskan kelangsungan hidup.

Dapur Jalanan berkata golongan gelandangan merupakan mangsa sistem kerajaan yang cuba mencapai status negara maju.

Menurut kenyataan Dapur Jalanan lagi, orang gelandangan yang ditangkap di hantar ke kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kuala Kubu Baru selama tiga minggu.

Meski pun maklum dengan segala ikhtiar kerajaan dan kumpulan sukarelawan, aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi berkata takrifan perkataan "homeless" dibawah Akta Orang-orang Papa 1977 perlu dikaji semula bagi memenuhi keperluan golongan gelandangan.

Menurut Syed Azmi perancangan teratur amat penting bagi menyediakan ruang inap selamat sementara untuk golongan terbabit.

Buat masa ini, Syed Azmi telah pergi ke kem PLKN itu untuk membantu membebaskan mereka.

Dia menyarankan pihak-pihak yang mengkritik agensi penguatkuasaan agar meluangkan masa di kem tahanan tersebut untuk mencarikan pekerjaan berpotensi dan tempat penginapan tetap kepada gelandangan.

Bagi Ganesh pula, hidup di jalanan bukanlah sebahagian daripada rancangan masa depannya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS