Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pihak berkuasa agama perlu memperkasa institusi itu dengan bijaksana melalui kaedah wacana serta hujah ketika menghadapi pelbagai aliran fahaman di negara ini.

Pendakwah Wan Ji Wan Hussein berkata masalahnya institusi agama di negara ini biasanya bersikap kuku besi dan cenderung hanya untuk menghukum berbanding berhujah secara matang.

Katanya perlu disedari kaedah yang digunakan itu boleh memberi tafsiran salah kepada Islam.

"Banyak negara mengamalkan kebebasan secara sihat dan mengambil sikap berwacana apabila berhadapan dengan kepelbagaian agama.

"Sikap itu menjadikan Islam semakin berkembang hebat.

"Perlu diingatkan mengikut sejarah, umat Islam zaman dulu membuktikan kaedah berdebat dan hujahlah yang menyebabkan Islam semakin diterima ramai," katanya kepada Malaysiakini.

Wan Ji ditanya mengenai perkembangan terbaru menyaksikan kemunculan kumpulan mengaku ateis di negara ini.

Laporan itu mendorong pihak berkuasa Islam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa pihak jabatan agama memburu mereka yang beragama Islam dan terlibat dengan kumpulan seumpama itu.

Katanya beliau akan mencadangkan kepada pihak berwajib termasuk mufti untuk berbuat demikian bagi kebaikan Islam di negara ini.

“Saya cadangkan kita buru habis-habisan dan tolong kami dan kenal pasti puak-puak ini. Keduanya, kita kena kembalikan mereka balik dan perbetulkan akidahnya jika orang Islam.

“Sebabnya mereka bukan nak jadi ateis tapi kekurangan ilmu agama sebab itu terpesong dengan pemikiran baru. Jadi di akhirat nanti kita juga akan dipersoalkan apakah kita telah beri penjelasan sewajarnya kepada mereka,” katanya.

Pastikan kebenaran tersebar

Kata Wan Ji berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya dia berpendapat institusi agama di negara ini secara umumnya tidak mempunyai individu yang ada kemampuan berhujah.

"Pihak berkuasa agama di Malaysia perlu sedar bahawa sekarang adalah zaman kebijaksanaan, era internet dan Facebook.

"Kini adalah zaman kepelbagaian fahaman dan agama perlu didepani dengan debat dan hujah. Menghadapi isu itu dengan undang-undang dan kuasa menjadikan kalangan yang ditekan sebaliknya mendapat simpati masyarakat dan mereka itu akan dianggap berada di pihak yang benar melalui persepsi yang diciptakan itu," katanya.

Justeru Wan Ji berharap pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan jabatan-jabatan agama Islam negeri memanfaatkan dana yang ada untuk melahirkan individu yang mampu mengeluarkan hujah berkualiti semasa berhadapan dengan kepelbagaian fahaman dan aliran agama itu.

"Itu saja cara terbaik dan terbukti dari sudut sejarah manusia untuk memastikan kebenaran tersebar," katanya.

Sementara itu bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Dr Badrul Amin Baharom pula mengakui pada asasnya murtad adalah kesalahan akidah dalam Islam dan jika disabitkan kesalahan, tindakan sewajarnya perlu diambil.

Bagaimanapun katanya menghukum bukanlah berada pada pilihan terawal sebaliknya pendekatan pemulihan.

"Langkah pertama ialah pemulihan, kemudian kena ada penguatkuasaan hukum. Mereka ditahan dan kemudian pulihkan. Jika gagal barulah dikenakan hukuman. Kaedah itu sama seperti jenayah-jenayah lain," katanya.

Semasa proses pemulihan itu pula, katanya, pihak berkuasa perlu mengenal pasti punca seseorang terbabit menjadi ateis atau murtad.

"Ia mungkin berpunca daripada kejahilan, termakan pujuk rayu, terperangkap dan sebagainya.

"Di situlah terletak kebijaksanaan pihak berkuasa menguruskan isu itu," katanya.

Umar buat dua kesilapan

Ditanya sama ada hukuman bunuh boleh dilaksanakan, Badrul Amin menjelaskan, untuk sampai ke tahap itu ada banyak proses yang perlu diambil.

"Paling kurang, mereka mesti dinasihati, dipulihkan atau diasingkan daripada masyarakat.

"Akhir sekali mungkin - jika ia membawa kemudaratan - dikenakan hukuman sama seperti diperuntukkan dalam kesalahan jenayah lain.

"Jenayah dadah, boleh dibunuh; jenayah membunuh pun boleh dibunuh. mengikut undang-undang negara. Dan begitulah seterusnya," katanya.

Pada masa sama Badrul Amin mengingatkan sesuatu kesalahan itu perlu mengambil kira aspek statusnya dilakukan secara terbuka atau tersembunyi.

Memetik sejarah khalifah kedua selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Badrul Amin berkata, Sayidina Umar al-Khattab pernah memasuki rumah seseorang yang minum arak.

Beliau memasuki premis itu mellalui pagar dan tingkap rumah berkenaan.

Justeru si peminum arak itu berkata, dia memang melakukan satu kesalahan - iaitu meminum arak - tetapi Umar sendiri membuat dua kesalahan.

Pertama, katanya, memasuki rumah lelaki itu tanpa izin, dan kedua, mengintai.

"Akhirnya Umar keluar dari situ," katanya.

Lihat Komen
ADS