Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Memorandum mendesak pengunduran Ketua PKR Kelantan sekarang adalah benar, kata seorang pemimpin akar umbi.

Ia, dakwanya, selari dengan rasa tidak puas hati anggota parti terhadap kepimpinan negeri ketika ini yang memang tinggi.

Menurutnya rasa tidak puas hati itu sedang berlaku secara menyeluruh, terutama membabitkan cabang yang cenderung kepada Pakatan Harapan yang tidak perlu bekerjasama dengan PAS.

Pengarah Pilihan Raya PKR Kota Bharu Ahmad Syauqey Abdul Ghani mengaku beliau antara individu yang merangka memorandum bagi mengumpul tandatangan untuk mendesak Ab Aziz Ab Kadir melepaskan jawatan sebagai pemimpin tertinggi Kelantan.

"Ketua-ketua cabang semuanya tahu krisis kepimpinan yang berlaku," katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini seorang pemimpin PKR Kelantan mengeluarkan kenyataan menyebut memorandum mendesak Ab Aziz meletak jawatan adalah tidak benar.

Memetik Ketua Komunikasi PKR Kelantan Mohd Sukirman Mustafa, Sinar Harian melaporkan parti itu tetap komited dengan hubungan sesama HARAPAN seperti arahan pimpinan pusat.

"Surat itu adalah palsu dan hanya bertujuan untuk memberi imej negatif kepimpinan PKR di Kelantan terutama barisan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN)," katanya.

Taktik politik

Memorandum itu turut menyenaraikan 10 kegagalan Ab Aziz dan tiga alasan mengapa bekas anggota parlimen Ketereh itu harus melepaskan jawatannya.

Ahmad Syauqey berkata Mohd Sukirman mungkin memilih untuk membuat penafian atas kepentingan tertentu walaupun sebenarnya dia boleh mendapatkan pengesahan daripada kumpulan yang menyokong memorandum berkenaan.

"Saya andaikan itu adalah taktik politik beliau," katanya.

Mengenai sokongan kepada Ab Aziz atau desakan supaya beliau berundur, Ahmad Syauqey berkata anggota parti memang mempunyai pandangan berbeza.

Di peringkat cabang dan ranting katanya ada pimpinan yang mempunyai pandangan tersendiri apabila berdepan dengan tawaran serta lantikan politik daripada kerajaan Kelantan.

"Namun sebahagian lagi berdiam diri untuk sementara kerana proses mendapatkan sokongan pada memorandum ini sedang berjalan," katanya.

Biro Politik PKR pada 16 Mei lalu mengarahkan semua anggota parti itu yang mendapat lantikan politik di Kelantan supaya meletakkan jawatan ekoran berakhirnya hubungan politik dengan PAS.

Kenyataan itu dibuat sendiri Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sasaran dicapai 50%

Antara lain ia untuk memberi mesej kepada orang ramai bahawa parti itu benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat berbanding peribadi.

Bagaimanapun sehingga kini peletakan jawatan itu belum dilaksanakan.

Pada 2 Ogos lalu, Sinar Online melaporkan Mohd Sukirman sebagai berkata peletakan jawatan itu belum dibuat kerana PKR Kelantan masih menunggu arahan rasmi daripada pihak pusat.

Semalam salah seorang anggota Biro Politik PKR William Leong meletak jawatan dan mengumumkan enggan bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana membantah tindakan sesetengah pemimpin PKR berunding dengan PAS.

Difahamkan majoriti anggota biro berkenaan terdiri daripada kumpulan yang masih mahu bekerjasama dengan PAS.

Ahmad Syauqey berkata rasa tidak puas hati sebahagian besar ahli PKR Kelantan memang tinggi dan dibuktikan dengan peletakan jawatan beberapa pemimpin peringkat negeri.

"Ia juga dapat dilihat dengan tindakan memecat ketua penerangan negeri, serta beberapa anggota pimpinan yang sedang menunggu masa sesuai untuk melepaskan jawatan," katanya.

Mengenai memorandum mendesak peletakan jawatan Ab Aziz itu Ahmad Syauqey berkata sambutan diterima memang menggalakkan.

"Setakat pengetahuan saya, sekarang 50 peratus daripada sasaran sudah dicapai," katanya.

Lihat Komen
ADS