Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anggota Parlimen Selayang William Leong melepaskan jawatannya dalam biro politik PKR berikutan keputusan parti itu meneruskan perbincangan dengan PAS.

"Saya tidak boleh (pertahankan kerjasama dengan PAS). Apabila saya tidak dapat mengikut arahan ini maka saya perlu berundur," kata Leong kepada Malaysiakini.

Leong berkata beliau juga memberitahu kepada parti itu untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi kekal sebagai anggota majlis pimpinan pusat PKR.

Biro politik PKR terdiri daripada anggota yang dilantik dan dipengerusikan oleh presiden.

Bagaimanapun, keputusan eksekutif dibuat oleh majlis pimpinan pusat, yang terdiri daripada pemimpin yang dipilih anggota parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Leong, tetapi enggan mengulas mengenai sebab-sebab di sebaliknya.

"Keutamaan kami sekarang ialah untuk bercakap dengan William dan dengar apa yang dikatakannya," kata Saifuddin.

Biro politik PKR sebelum ini membincangkan mengenai hubungannya dengan PAS sejak Pakatan Rakyat dibubarkan.

Malaysiakini difahamkan bahawa minggu lepas, biro itu memutuskan untuk memberikan peluang kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali bercakap dengan PAS.

Azmin sudah pun mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan PAS sebelum ini.

Bagaimanapun, Leong berkata keputusan untuk meneruskan perbincangan dengan PAS tidak dibuat sebulat suara dan terdapat di kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan perkara itu.

[Berita penuh menyusul]

Lihat Komen
ADS