Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar Melayu cemerlang Mandarin ditaja ke Universiti Xiamen

Seorang pelajar Melayu yang juga pelajar paling cemerlang di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) (C) Chung Cheng di Kelantan, bertuah apabila mendapat tajaan seorang usahawan berbangsa Cina bagi melanjutkan pengajian selama empat tahun di Universiti Xiamen cawangan Malaysia di Sepang, Selangor.

Muhamad Aidil Mohd Anis, 18 yang mencatat 9A+ termasuk bagi mata pelajaran Bahasa Mandarin dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, adalah anak yatim yang tinggal bersama ibunya, Ramiza Abdul Rahman, 49, di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa.

Kecemerlangan pelajar terbabit mendapat perhatian usahawan, Gan Leong Piow yang terharu dan kagum dengan pencapaian Muhamad Aidil yang fasih berbahasa Mandarin.

Muhamad Aidil yang ditemui pemberita di Kota Bharu, berkata beliau bersyukur kerana ada insan yang sanggup membiayai keseluruhan kos pengajian termasuk tempat tinggal yang disewanya sebanyak RM500 sebulan sepanjang belajar di universiti berkenaan.

"Sebenarnya saya mula mengenali bahasa Mandarin ketika belajar di tadika ketika berumur enam tahun daripada seorang guru dikenali sebagai Miss Chong,” katanya.

Menurut remaja itu beliau dicabar agar belajar bersungguh-sungguh jika tidak mahu ditukarkan ke sekolah menengah kebangsaan semasa memulakan persekolahan menengah di SMJK C Chung Cheng yang sebelum itu belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Cheng.

Katanya berkat dorongan ibu yang tidak pernah jemu memberi kata-kata semangat, akhirnya beliau berjaya dalam peperiksaan malah menjadi pelajar paling cemerlang di sekolah itu.

"Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh kerana tidak mahu mengecewakan pihak yang membantu saya, khususnya individu yang menaja kos pengajian saya di universiti.

"Saya sendiri sebenarnya banyak bergantung kepada ibu selepas kematian bapa tiga tahun lalu," katanya yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang kewangan dan bercita-cita menjadi seorang juru analisis kewangan.

Sementara itu, Gan berkata beliau membantu Muhamad Aidil kerana berasa kagum dengan pencapaiannya serta menganggap pelajar itu seorang yang berbakat.

Katanya pelajar seumpama ini amat sukar ditemui dan menjadi tanggungjawabnya untuk membantu menjadikan pelajar itu berjaya di masa hadapan.

Menurut Gan, beliau mendapat tahu mengenai kecemerlangan Muhamad Aidil melalui rakan media sosialnya yang mengatakan terdapat pelajar cemerlang yang memerlukan bantuan dan memutuskan untuk membantu pelajar itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS