Terjemahan Kementerian Pembangunan Koperasi dan Keusahawan telah mengambil alih pentadbiran dan pengurusan Koperasi Al-Hilal (Kohilal), sebuah koperasi yang dianggotai oleh ahli PAS.

Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) telah membubarkan lembaga pengarah Kohilal dan melantik Penolong Pengarah JPK Wilayah Persekutuan, Saadah Sirat mengikut Seksyen 69 Akta Pertubuhan Koperasi 1993 mengawasi operasi hariannya.

Bekas Pengarah Eksekutif Kohilal, Mohd Shukor Aziz memberitahu malaysiakini bahawa langkah pengambilalihan itu telah diumumkan oleh Timbalan Ketua Pengarah JPK, Mohd Yusof Samsudin dalam mesyuarat dua jam di pejabat Kohilal di Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada 11 Ogos lalu.

Katanya, langkah tersebut diambil berikutan pertikaian berlanjutan dalam lembaga pengarh berhubung perlantikan semula Pengerusi Kohilal, Ahmad Radzi Abdullah dan setiausaha Zakaria Abdul Aziz yang berjaya mengetepikan undi tidak percaya terhadap mereka tahun lalu.

Katanyai, masalah itu menjadi halangan besar terhadap perjalanan koperasi ini sehingga pihaknya tidak dapat langsung mengadakan mesyuarat lembaga pengarah, menyebabkan JPK bertindak mengambil alih pengurusan Kohilal.

"Kami diberitahu, pengambilalihan itu mungkin sehingga dua tahun. Tetapi kami telah diberi jaminan bahawa ianya akan berakhir apabila lembaga pengarah yang baru dipilih oleh ahli-ahli...Saya yakin lembaga pengarah yang baru akan dilantik dalam mesyuarat agung Disember ini," katanya.

'Jangan bimbang'

Shukor berkata, beliau menyedari bahawa sesetengah ahli Kohilal yang masih kecewa dengan kegagalan pelaburan koperasi itu yang mengakibatkan kerugian RM46.5 juga akan bimbang dengan perkembangan tersebut.

"Saya memberi jaminan bahawa kepentingan dan pelaburan mereka tidak terjejas walaupun kementerian mengambil alih pengurusan Kohilal. Apa juga dana yang kami ada, akan kekal seperti sekarang. Ahli-ahli tidak perlu bimbang. Kakitangan Kohilal juga menjalankan tugas mereka seperti baiasa. Gaji mereka akan dibayar, itu saya pasti," tambahnya.

Menurutnya, walaupun pengambilalihan itu tidak dikaitkan dengan kegagalan pelaburan koperasi itu, tetapi belaia percaya, masalah itu juga akan ditangani memandangkan kerajaan kini turut terbabit dalam pengurusannya.

"Saya percaya, jabatan berkenaan akan mengumumkan hasil siasatannya. Ia mungkin diumumkan di mesyuarat agung nanti. Hasil siasatan itu akan membantu kita meningkatkan keyakinan ahli terhadap Kohilal," kata Shukor.

Ketua Biro Ekonomi PAS, Dr Rosly Yaakob, yang juga ahli jawatankuasa pusat parti itu, berkata beliau tidak menganggap perkembangan terakhir itu sebagai sesuatu yang tidak baik untuk Kohilal.

"Langkah pengambilalihan itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dan JPK mengambil keputusan untuk mengambil alih (pengurusan) bagi membetulkan keadaan. Jika jabatan itu mahu membantu Kohilal mengatasi masalah kewangannya, maka kami menyokong langkah tersebut," katanya.

'Sesuatu yang memalukan'

Rosly juga berkata aduan ahli-ahli berhubung kegagalan pelaburan koperasi tersebut masih belum diselesaikan dan beliau akan membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu bulan depan.

"Saya mencadangkan kita menjalankan siasatan terperinci mengenai status kewangan Kohilal untuk mengesan apa yang tidak kena. Dari situ, kita akan membuat perakuan bagaimana untuk membetulkannya dan menghasilkan keuntungan untuk para pelabur," katanya.

"Saya pasti ahli-ahli akan menerima kerugian itu jika ia akibat keadaan ekonomi yangtidak baik ketika itu. Tetapi kita tidak akan bertolak ansur jika kerugian itu berpunca daripada salah pengurusan dan penyelewengan," katanya.

Sementara itu, seorang ahli politik PAS dari Kuala Lumpur yang enggan namanya disebut, menyifatkan perkembangan terbaru itu merupakan sesuatu yang 'memalukan' parti kerana ia mencerminkan kurangnya kredibiliti barisan kepimpinan PAS dalam mengendalikan urusan ekonomi.

"Ia menunjukkan seolah-olah kita tidak boleh mengendalikan koperasi. Jadi bagaimana tanggapan orang ramai terhadap kita? Saya harap pemimpin parti akan mengambil langkah untuk menangani masalah ini," tambahnya.

Menurutnya, kepimpinan PAS mesti berani menerima cadangan Dr Rosly supaya dijalankan kajian terperinci terhadap isu kerugian pelaburan Kohilal itu.

"Saya yakin Dr Rosly mampu menghasilkan laporan yang tidak berat sebelah. Perbuatan menyembunyikan masalah seperti yang kita lakukan pada masa lalu tidak akan lagi dapat membantu parti," katanya.