Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pusat tahfiz mahu baju kalis api, pengawal keselamatan

Pengusaha sekolah tahfiz menyambut baik cadangan agar Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negara (NIOSH) membantu meningkatkan tahap piawaian keselamatan di sekolah tahfiz seluruh negara.

Bagi mereka, kerajaan memang seharusnya membantu pusat tahfiz yang tidak mencapai tahap keselamatan yang sepatutnya.

Pengetua Akademi Darul Huffaz Kajang Lokman Shazly Azlanii Zaharin, 46, berkata pemantauan NIOSH akan dapat meningkatkan taraf keselamatan sekaligus mengurangkan kebimbangan di kalangan ibu bapa pelajar.

“Pemantauan itu bagus, mana-mana madrasah yang tak cukup tahap keselamatan memang kerajaan kena bantu.

"Tetapi saya juga cadangkan agar kerajaan dapat memberikan baju kalis api terutama kepada sekolah tahfiz yang berisiko tinggi untuk dilanda kebakaran. Selain itu pengawal keselamatan juga patut diletakkan terutama di waktu malam," katanya kepada Malaysiakini.

Dengan baju kalis api, katanya lagi, pihak tahfiz dapat menyelamatkan pelajar dengan segera sebelum menunggu ketibaan bomba, jika berlaku kebakaran.

Soal keselamatan pusat tahfiz kembali diperkatakan selepas tragedi kebakaran yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 nyawa.

Bangunan tiga tingkat yang diduduki secara sementara oleh pelajar dan warden tahfiz itu didapati belum mendapat sijil kelayakan menduduki bangunan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata NIOSH akan diminta menyertai pasukan petugas menyiasat tragedi itu bagi meningkatkan tahap keselamtan di pusat tahfiz.

Bagi Pengetua Maahad Tahfiz Nurul Huda Hulu Langat, Shaibon Md Yusof, 75, insiden itu tertanya membuka mata banyak pihak berhubung masalah infrastruktur di pusat tahfiz.

“Saya gembira NIOSH akan pantau keselamatan. Apa yang berlaku itu kehendak Allah, tapi saya sokong sangat (cadangan ini).

"Saya meminta agar semua pihak membantu kami,” katanya sambil memaklumkan bangunan pusat tahfiznya yang didiami 25 pelajar telah mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Kembalikan rotan

Menyuarakan sentimen yang sama, Pengetua Maahad Tahfizul Furqan Paya Jaras Tengah Sharipah Nurul Asiah Syed Ager, 49, menyambut baik cadangan itu dan berharap ia akan terlaksana.

“Kebanyakan tahfiz selama ini mungkin terlepas pandang soal keselamatan, bila ada pemantauan sedikit sebanyak dapat pastikan keselamatan pelajar,” katanya yang turut menyatakan akan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dalam soal keselamatan.

Beliau juga gembira tragedi itu tidak menghilangkan kepercayaan ibu bapa pelajarnya untuk terus menghantar anak mereka ke pusat tahfiz itu.

Usaha menentukan piawaian keselamatan di institusi itu selama ini berhadapan masalah, antaranya kerana ia tidak diletakkan di bawah kerajaan.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata usaha kerajaan meningkatkan tahap keselamatan dan menyelaraskan pentadbiran sekolah tahfiz dilihat sesetengah pengusaha sebagai satu campur tangan.

Dalam pada itu, Shaibon yang merupakan bekas guru sekolah agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berharap amalan merotan pelajar dikembalikan di sekolah bagi membentuk disiplin pelajar.

"Kembalikan semula cara mendidik dengan rotan kepada anak-anak, itu cara sepatutnya. Bila jadi macam ini Allah nak tunjuk yang pemerintah buat sambil lewa terhadap tahfiz," katanya.

Lihat Komen
ADS