Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sarawak juga tak boleh cabuli Perjanjian Malaysia, kata Lim

Di saat kerajaan Sarawak mahu menegakkan hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, mereka tidak boleh menyalahgunakan kuasa negeri dengan menghalang mana-mana pihak untuk masuk atas tujuan politik, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

"Ketetapan itu sangat jelas yang kegiatan politik yang sah dibenarkan, bahawa mana-mana warga dari Semenanjung Malaysia tidak boleh dihalang masuk untuk kegiatan politik yang sah.

"Untuk terus menyekat pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah satu pencabulan terhadap Perjanjian Malaysia 1963," katanya.

Katanya lagi, kerajaan Sarawak perlu menunjukkan contoh yang baik agar perjuangan mereka untuk mengembalikan hak-hak negeri dalam perjanjian itu lebih dihormati.

Lim yang juga anggota parlimen (MP) Gelang Patah itu bercakap kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan Sarawak menghalang beberapa MP PKR daripada masuk ke negeri itu semalam, iaitu Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) yang disekat di Lapangan Terbang Miri.

MP Kuala Sepetang Chua Yee Ling yang masuk ke negeri itu melalui Miri semalam turut diusir selepas pegawai polis dan imigresen datang ke majlis makan malam PKR yang dihadirinya.

Sejumlah pemimpin HARAPAN ke Sarawak bagi menghadiri ceramah berkaitan manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-14 untuk negeri itu, di Kuching malam ini.

Antara yang dijangka berucap adalah Lim dan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad.

'Tidak demokratik dan profesional'

Sementara itu, Chua dalam kenyataan hari ini tidak menyalahkan pegawai imigresen yang hanya mematuhi arahan untuk mengusirnya.

"Sebaliknya saya mengecam kerajaan Sarawak yang menyalahgunakan kuasa.

"Saya menghormati kuasa autonomi Sarawak, tetapi ia tidak boleh disalahguna dengan cara yang tidak demokratik, tidak profesional dan tidak bertamadun seperti ini," katanya.

Chua berkata, antara program yang sepatutnya disertainya di negeri itu adalah lawatan ke pusat warga emas.

"Saya tidak faham bagaimana program ini menjadi ancaman kepada keselamatan, dan saya mendesak ketua menteri untuk memberikan jawapan," katanya.

Lihat Komen
ADS