Pegawai imigresen iring ADUN PKR keluar dari S'wak

   

ADUN Kuala Sepetang, Chua Yee Ling diusir dari Sarawak ketika sedang menghadiri majlis makan malam anjuran PKR.

Wakil rakyat dari Perak itu diusir apabila pegawai imigresen dan polis datang ke majlis itu yang diadakan di Eastwood Valley Golf & Country Club di Miri.

Rakaman yang disiarkan di halaman Facebook Chua menunjukkan beliau diiringi keluar dari tempat berkenaan oleh pegawai-pegawai imigresen.

Chua yang kelihatan tenang ketika pengusiran itu berkata beliau akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berkenaan.

"Kamu hanya melakukan tugas kamu, tapi saya tertanya-tanya mengapa," katanya kepada pegawai imigresen.

Beliau kemudian dibawa dengan kenderaan SUV berwarna hitam.

Chua memberitahu Malaysiakini pada kira-kira jam 9.30 malam bahawa beliau menaiki penerbangan untuk kembali ke Semenanjung.

Terdahulu hari ini, dua anggota parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Hee Loy Sean (Petaling Jaya Selatan) dihalang memasuki Sarawak sejurus tiba di Lapangan Terbang Miri.

Mereka juga dijadualkan hadir pada majlis makan malam berkenaan.

Pengusiran itu dibuat sehari sebelum Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad  tiba di Sarawak.

Kehadiran Mahathir ke bumi kenyalang itu merupakan penampilan sulung beliau di negeri itu sejak menjadi pembangkang.

Bekas presiden Umno itu akan berucap di Kuching dalam satu ceramah berkaitan manifesto yang akan ditawar kepada rakyat Sarawak pada pilihan raya umum akan datang.

Turut dijadualkan hadir ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, dan Pengarah Pilihan Raya AMANAH, Dr Hatta Ramli.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg petang ini memberi jaminan bahawa Mahathir, Lim dan Hatta akan dibenarkan memasuki negeri itu.

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat