Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengarah Islamic Renaissance Front (RF) Dr Ahmad Farouk Musa mendakwa pihak berkuasa meneruskan usaha mereka dalam menyekat cara umat Islam di negara ini berfikir, susulan pengharaman tiga buku terbitan NGO Islam itu.

Tiga buku tersebut adalah "Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan" oleh sarjana Turki Mustafa Akyol, dan dua buku yang memuatkan koleksi artikel suntingan Ahmad Farouk, "Wacana Pemikiran Reformis 1" dan "Wacana Pemikiran Reformis 2".

"Mereka (pihak berkuasa) secara asasnya cuba menyekat bagaimana orang Melayu patut berfikir. Jika kami tidak menterjemah buku (Akyol) kepada bahasa Melayu (daripada bahasa Inggeris), mungkin buku itu masih (tidak diharamkan).

"Ia diharamkan kerana diterjemah ke bahasa Melayu. Mereka mahu mengawal minda orang Melayu di negara ini," katanya kepada Malaysiakini di sekretariat IRF di Kuala Lumpur, hari ini.

Buku Mustafa yang diterjemahkan daripada “Islam without Extremes: A Muslim Case for Liberty” yang diterbitkan pada 2011 diharamkan sebaik selepas beliau sendiri dipanggil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan ditahan di lapangan terbang, ekoran program syarahannya yang dianjurkan IRF akhir bulan lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid hamidi berkata, buku itu bertentangan dari segi fakta dan berisiko menjejaskan keselamatan negara jika disebarkan.

"Mereka langsung tidak menulis surat kepada kami berhubung pengharaman itu, kami hanya dapat tahu dari akhbar," katanya.

Selain pengharaman buku, IRF juga bertembung dengan JAWI di mahkamah.

Ahmad Farouk didakwa "bersubahat" di bawah Seksyen 43 Akta Jenayah Syariah 1997, dipercayai berkaitan dengan peranannya sebagai penganjur program pelancaran buku dan syarahan Mustafa.

Mustafa didakwa "mengajar agama tanpa tauliah", seperti yang termaktub dalam Seksyen 11 akta sama.

Perlu dana RM75,000

Dengan bantuan peguam Rosli Dahlan dan Khoo Gan Huat yang menawarkan khidmat secara percuma, IRF memfailkan semakan kehakiman bagi dakwaan syariah dan juga pengharaman buku itu.

Bagi menanggung kedua-dua tindakan itu, Farouk melantik Freedom Fund bagi memulakan usaha pengumpulan dana orang ramai.

"Matlamatnya untuk meraih RM75,000. RM5,000 untuk kemungkinan denda terhadap Farouk, jika beliau tewas di mahkamah syariah. Bakinya untuk proses pembelaan dan semakan kehakiman," kata ahli jawatankuasa kerja Freedom Fund Wong Chin Huat.

Wong berkata, mereka bersetuju untuk menyokong "pejuang hak asasi manusia" seperti Farouk kerana kebebasan sivil yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan kini dalam ancaman.

"Kita tidak boleh membiarkannya berlawan seorang diri," katanya kepada Malaysiakini.

Sumbangan boleh dibuat kepada FF Resources PLT melalui pemindahan bank ke akaun CIMB (no akaun:8007518164). Kod SWIFT adalah CIBBMYKL dan penyumbang diminta menyatakan "Farouk Musa" pada ruangan keterangan atau rujukan.

Lihat Komen
ADS