Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TPM: Buku Mustafa Akyol bertentangan norma masyarakat
Diterbitkan:  Oct 6, 2017 3:02 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengharaman buku penulis Turki, Mustafa Akyol disebabkan bahan bacaan itu bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata buku bertajuk ‘Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty’ yang diterjemah ke bahasa Melayu ‘Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan’ itu bertentangan dari segi fakta dan boleh menjejaskan keselamatan dalam negara jika disebarkan.

Beliau turut menegaskan pengharaman sesuatu buku tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya dan hanya dilakukan setelah kementeriannya menimbang beberapa perkara.

"Pertama ia dibuat setelah kementerian mendapat maklum balas daripada orang ramai yang memberi pandangan sesuatu buku itu tidak sesuai. Kedua, buku itu dinilai isi kandungannya berdasarkan kepada permit daripada Kementerian Dalam Negeri atau ISBN dan ketiga, tentunya kita lakukan siasatan terhadap ketidaksesuaian sesuatu buku itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Membasmi Kemiskinan ke-10 di ibunegara hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pertimbangan sama juga dibuat terhadap buku-buku yang dimiliki bekas penuntut sarjana Universiti Malaya, Siti Noor Aishah Atam yang kini dipenjara mengikut Seksyen 30(1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Pengharaman buku Akyol itu diwartakan pada 28 September lalu, iaitu sehari selepas penulis tersebut ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semasa menunggu penerbangan ke Amerika Syarikat.

Akyol dilaporkan datang ke negara ini atas undangan Islamic Renaissance Front untuk memberi syarahan namun acara itu dibatalkan dan wartawan Turki tersebut turut disiasat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana mengajar tanpa tauliah.

Mengulas perkembangan lain, Ahmad Zahid mengulangi pendirian bahawa Malaysia tidak berhasrat untuk menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun katanya berhubung isu pelarian etnik Rohingya, Malaysia bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), iaitu organisasi di bawah seliaan PBB.

"Kita tidak berhasrat menandatangani perjanjian mengenai pelarian walaupun kita pernah ada Pulau Bidong untuk menerima pelarian Vietnam sebelum ini, tetapi kita bekerjasama dengan UNHCR dan IOM.

“Bagaimanapun dasar kita (berhubung isu pelarian Rohingya) adalah (atas) perikemanusiaan," katanya.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Timbalan Ketua Setiausaha bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN Vongthep Arthakaivalvatee.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS