Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas timbalan ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob didapati bersalah kerana memandu di laluan kecemasan dan didenda maksimum RM2,000.

Hakim Mahkamah Majistret Putrajaya Muhammad Zaki Abdul Kudus membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam Yusoff, Baljit Singh Sidhu dan timbalan pendakwa raya Izzat Fauzan.

Baljit menggesa majistret merujuk kepada mitigasi sebelumnya dan meminta hukuman yang "memadai".

Izzat berhujah bahawa sebagai penjawat awam yang diberi kuasa untuk menegakkan Akta Pengangkutan Jalan 1957, Yusoff perlu diberi hukuman maksimum kerana melanggar undang-undang.

Yusoff, 58, didakwa melakukan kesalahan itu semasa memandu kereta bernombor pendaftaran BLY68 di Lingkaran Putrajaya pada jam 6.27 petang pada 7 Oktober 2016.

Kesalahan itu melanggar Kaedah 53 (1) Peraturan Lalulintas 1959 dan dengan itu merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 119 (1) (c) Akta Pengangkutan Jalan 1957.

Yusoff  pada 18 Julai mengaku bersalah menerusi seorang wakil dan didenda RM600, menyebabkan gesaan untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadapnya memandangkan kedudukannya sebagai penjawat tinggi awam pada masa itu.

Dua hari kemudian Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif mengkritik Yusof kerana menggunakan wakil dan kes itu dikembalikan kepada Mahkamah Majistret untuk didengar semula.

Berikutan itu peguamnya, Baljit Singh Sidhu mendakwa anak guamnya telah "salah diberikan nasihat" untuk membuat pengakuan bersalah.

Yusoff dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berpendapat langkah itu adalah "amalan biasa".

Lihat Komen
ADS