Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kebebasan media di Malaysia lebih baik di bawah pentadbiran bos beliau, Datuk Seri Najib Razak.

Kata Ahmad Zahid dalam laporan yang disiarkan Malaysiakini itu, pengamal media tidak lagi dikongkong oleh agenda sesebuah akhbar seperti dalam era kepimpinan perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Laporan tersebut ditulis pada bulan Ogos 2017 yang lalu.

Tetapi pada hari ini, wartawan yang sama menulis mengenai ucapan Ahmad Zahid itu 'dihalau' oleh pembantu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) dari sebuah majlis di Putrajaya.

Ironinya, tanpa sebarang alasan yang kukuh, wartawan tersebut yang bukan setahun dua menjadi wartawan diminta meninggalkan majlis tersebut selepas bertanyakan hanya dua soalan sahaja.

KJ 'cuak' dengan soalan

Dua soalan tersebut ialah: Adakah Pemuda Umno akan menggantung dua pemimpin Pemuda Umno Sabah yang ditangkap oleh SPRM baru-baru ini, sementara menunggu siasatan dan apakah pandangan beliau terhadap dakwaan kenyataan anti-Bugis oleh Tun Dr Mahathir Mohamad?

Bagi saya yang berada dalam dunia media tempatan berbelas tahun lamanya, soalan sedemikian tiada cacat celanya dan berada dalam konteks yang betul untuk ditanyakan kepada mereka yang layak.

Dua soalan tersebut juga tidak sampai ke tahap untuk memungkinkan seorang menteri muda untuk menghalau wartawan dari majlisnya.

Namun, tindakan tersebut mencerminkan mentaliti pemuda dalam Umno yang tidak dapat menerima media yang bebas, lasak di negara ini.

Khairy nampaknya 'cuak' dengan soalan mencabar minda sedemikian yang telah memaksa beliau untuk berfikir sebelum menjawabnya, takut-takut hilang kerusi Parlimen Rembau jika tersalah jawab.

Apa yang Khairy mungkin harapkan selaku pemimpin Umno dan menteri BN ialah soalan-soalan dari media yang dapat memberikan kesan positif kepada kerajaan semasa.

Barangkali beliau mendambakan soalan-soalan wartawan yang menampakkan Umno dan BN itu sebagai hebat dan bukannya apa yang rakyat mahu tahu.

Mungkin juga, KJ, sama seperti menteri Umno lain cuma mahukan soalan-soalan daripada para pengamal media yang boleh diibaratkan sebagai 'menjilat' agar mereka boleh sentiasa berasa bangga dengan apa yang dilakukan.

Tidak terkecuali, KJ mungkin dilatih oleh partinya untuk menjawab soalan-soalan yang berbentuk 'lurus' dan tidak memerlukan beliau untuk menggunakan otak yang pernah diiktiraf University of Oxford itu dalam menjawab soalan.

Jika begitu keadaannya, apalah yang hendak dihairankan.

Terdapat banyak bukti sebelum ini yang menunjukkan rakan-rakan seperjuangan beliau dalam Umno tidak pernah mahu mencuba untuk menggunakan otak mereka.

Tidak cukup dengan keengganan mereka untuk tidak menggunakan otak mereka, ada di kalangan pimpinan Umno yang cuba memperbodohkan pihak lain sama ada untuk menunjukkan mereka terlebih pandai atau orang lain sebagai bodoh.

Harapan media bebas

Nampaknya, jika Khairy yang pernah bercita-cita untuk menjadi perdana menteri pada usia 40 tahun ini sanggup melakukan hal tersebut, maka punahlah harapan rakyat marhaen negara ini untuk melihat adanya media-media bebas, lasak di Malaysia.

Jika Malaysia terus memiliki pemimpin muda yang berfikiran kolot sedemikian, maka keadaan media negara ini dengan akhbar arus perdananya dimiliki oleh parti politik pemerintah akan terus berlanjutan untuk tempoh 60 tahun akan datang.

 

Kita telah merdeka selama 60 tahun, jika inilah cara dan tanggapan oleh pemuda Umno yang bakal mewarisi pemerintahan negara suatu hari nanti, justeru itu tidak salah untuk kita jangkakan kawalan lebih ketat ke atas media di negara ini.

Selagi BN terus menang dalam pilihan raya umum akan datang, maka selagi itulah rakyat negara ini akan terus disajikan dengan berita-berita yang BN mahu mereka tahu dan bukannya berita-berita yang perlu rakyat tahu.


AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden Cuepacs dan naib pengerusi DAP.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS