Paling Popular
Terkini

Malaysiakini diarah meninggalkan sebuah majlis anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Kuala Lumpur hari ini.

Arahan supaya beredar itu dikeluarkan selepas pegawai khas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memohon soalan yang mahu diajukan daripada wartawan sebelum sidang akhbar diadakan.

Sejurus kemudian, pegawai itu datang semula ke meja wartawan dan meminta Malaysiakini meninggalkan tempat itu.

“Saya minta maaf YB tak mahu jawab soalan dari Malaysiakini dan berada dalam majlis ini, kita minta Malaysiakini beredar.

“Saya minta maaf sangat,” kata Raja Syahrir Abu Bakar.

Soalan yang ingin diajukan Malaysiakini kepada Khairy adalah seperti berikut:

Adakah Pemuda Umno akan menggantung dua pemimpin Pemuda Umno Sabah yang ditangkap oleh SPRM baru-baru ini, sementara menunggu siasatan;

Pandangannya terhadap dakwaan kenyataan anti-Bugis oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan setiausaha akhbar atau pembantu yang meminta wartawan untuk membekalkan soalan sebelum sidang akhbar diadakan bukan sesuatu amalan luar biasa di Malaysia.

Ini kali pertama Malaysiakini diarahkan beredar daripada acara Kementerian Belia dan Sukan. Sebelum ini, Malaysiakini sering-kali dihalang daripada membuat liputan di Pejabat Perdana Menteri, Perbendaharaan, ibu pejabat MCA dan Kementerian Pertahanan.

Khairy dijadualkan merasmikan program MyCorps@Asia Selatan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Kuala Lumpur hari ini yang bakal menyaksikan sukarelawan belia Malaysia dihantar ke Sri Lanka dan Bangladesh untuk misi kemanusiaan.

 

Lihat Komen
ADS