Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno pertahan Khairy 'halau' Malaysiakini
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 5:05 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Dua pemimpin Pemuda Umno hari ini tampil mempertahankan tindakan ketuanya Khairy Jamaluddin yang mengarahkan Malaysiakini meninggalkan sebuah majlis anjuran Kementerian Belia dan Sukan semalam.

Exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii mengulas artikel bekas Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu, Amran Ahmad Nor yang mengkritik tindakan Khairy itu.

Menyifatkan Khairy sebagai "pemimpin muda yang berfikiran kolot", Amran antara lain mendakwa Khairy enggan menjawab soalan yang "mencabar", sebaliknya mahukan soalan yang dapat memberikan imej baik kepada kerajaan.

Semalam, Malaysiakini diarahkan beredar daripada majlis itu selepas pegawai Khairy meminta soalan daripada para wartawan.

Dua soalan Malaysiakini adalah sama ada Pemuda Umno akan menggantung dua pemimpinnya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Sabah, dan pandangannya tentang kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung masyarakat Bugis.

Bagi Armand, Khairy bertindak secara "matang dan profesional" dengan enggan menjawab soalan itu dan meminta wartawan meninggalkan majlis, kerana tidak mahu mengganggu siasatan SPRM.

Katanya lagi, tindakan itu juga kerana jawapan kepada soalan tersebut dilihat "akan diputar belit" wartawan.

Namun beliau mendakwa tahap kebebasan media di masa ini jauh lebih baik ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mungkin Amran terlupa zaman siapa yang tiada kebebasan bersuara dan media. Umum tahu ia ketika pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi perdana menteri.

"Ketika zaman Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razaklah kebebasan media dan bersuara diberikan...Jadi Amran sila buat kajian terhadap sejarah dahulu sebelum menulis artikel yang dilihat tidak cerdik," katanya lagi.

Dalam artikelnya, Amran juga mendakwa dua soalan tersebut relevan untuk ditanya kepada Khairy selaku pemimpin parti dan menteri, dan tindakannya itu hanya mencerminkan mentaliti pemuda Umno yang tidak dapat menerima media yang "bebas dan lasak" di negara ini.

Pulau Pinang bagaimana?

Razlan pula berkata, Khairy bebas untuk menolak Malaysiakini daripada membuat liputan dan tindakan itu pastinya bersebab.

"Jika Malaysiakini bebas menulis, Khairy juga bebas memilih. kebebasan tidak boleh dilihat sepihak sahaja. Saling menghormati juga adalah kebebasan," katanya dalam kenyataan.

Mengulas artikel Amran, Razlan berkata beliau sepatutnya turut membangkitkan kerajaan DAP di Pulau Pinang yang didakwanya menyekat kebebasan akhbar termasuk Utusan.

"Adakah ini disebabkan DAP juga tua dan tidak mengamalkan kebebasan media? Selaku bekas wartawan, beliau patut memperjuangkan isu itu," katanya.

Pada 2011, Utusan pernah dilarang membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi satu sesi, dan larangan itu telah ditarik balik.

Walaupun Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak melarang wartawan daripada membuat liputan, beliau diketahui enggan menjawab soalan wartawan daripada media yang dilihat sebagai pro-BN.
 

Lihat Komen
ADS