Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantu mahasiswa dapatkan peluang pekerjaan - Nik Nazmi
Diterbitkan:  Oct 21, 2017 9:26 AM
Dikemaskini: 1:35 AM

Kerajaan sepatutnya berusaha mencari penyelesaian untuk peluang pekerjaan yang kini semakin terhad, kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, ia ekoran sudah terlalu banyak lambakan graduan yang menganggur.

"Bukannya mengubah mentaliti rakyat," katanya merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu mahasiswa mengubah mentaliti makan gaji selepas tamat pengajian dan sebaliknya menjadi usahawan yang mampu menawarkan pekerjaan kepada individu lain.

Najib dilaporkan berkata mahasiswa perlu mencabar diri untuk memilih bidang keusahawanan yang boleh menjanjikan masa depan yang lebih bermakna.

"Najib yang patut ubah mentaliti untuk membantu rakyat terutama golongan muda," kata Nik Nazmi yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam satu kenyataan.

Menurutnya, untuk menjadi seorang usahawan bukan sesuatu yang mudah untuk menjana pendapatan dalam keadaan ekonomi sekarang.

"Permasalahan yang sepatutnya difikirkan Najib adalah bagaimana hendak mengurangkan masalah pengangguran di negara ini," tegasnya.

Sedangkan, kata Nik Nazmi, peniaga yang sudah bertapak lebih 30 tahun juga masih merungut kerana pendapatan mereka semakin hari semakin berkurangan, atas beberapa faktor, antaranya harga barangan mahal termasuk barang basah seperti ayam, ikan, daging selain dikenakan GST.

"Bagi memulakan sesuatu perniagaan, sekurang-kurangnya mahasiswa perlu bekerja makan gaji dahulu selama dua hingga lima tahun untuk mengumpul modal perniagaan jika ingin menjadi usahawan.

"Tetapi keadaan itu akan lebih sukar kerana selepas tamat belajar mereka terus dibebani hutang pinjaman pendidikan seperti PTPTN.

"Jadi bagi saya, agak sukar bagi mereka kerana hanya ada modal kecil," tambahnya.

Dengan keadaan kegawatan ekonomi negara dan pelaksanaan cukai GST, kata Nik Nazmi lagi, sudah semestinya ia memberi kesan kepada rakyat pada hari ini.

Beliau juga mengingatkan jangan mudah melabel 'mahasiwa manja'.

Kenyataan seperti ini itu, katanya, bukan sekadar mengelak isu sebenar, malah melambangkan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin yang menyalahkan rakyat atas kegagalan mereka mentadbir negara.
 

Lihat Komen
ADS