Paling Popular
Terkini

Interpol enggan memberi kenyataan balas terhadap pertanyaan sama ada pertubuhan itu ada dihubungi Malaysia untuk membantu mengesan lokasi Jho Low.

“Jika atau apabila mana-mana polis dari 192 anggota Interpol berkongsii maklumat dengan sekretariat umum di Lyon (Perancis) berhubung siasatan dan orang buruan, maklumat ini kekal di bawah pemilikan negara anggota

“Justeru Interpol tidak memberi komen terhadap kes atau individu spesifik kecuali dalam keadaan khusus dan dengan kelulusan negara anggota yang terlibat," kata pertubuhan polis antarabangsa itu kepada Malaysiakini.

Mereka dihubungi portal ini untuk mendapatkan reaksi terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat semalam.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri memberitahu kerajaan sudah mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan ahli perniagaan kontroversi terbabit.

Katanya Putrajaya yakin badan polis antarabangsa itu akan bertindak dengan profesional.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mendapat apa-apa maklumat terperinci mengenainya daripada Interpol," katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Azmin Ali (PKR-Gombak).

Ahmad Zahid kemudian menafikan laporan yang memetik beliau sebagai berkata bahawa kerajaan Malaysia sedang meminta bantuan Interpol untuk mengesan Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho.

“Pejabat timbalan perdana menteri menafikan secara tegas laporan yang dibuat oleh beberapa media sosial yang telah memanipulasikan jawapan YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa PDRM sedang meminta bantuan Interpol bagi menjejak ahli perniagaan Jho Low.

"Jawapan timbalan perdana menteri ketika di sidang parlimen pagi ini (semalam) ke atas soalan tambahan Gombak jelas menyatakan bahawa tiada kes untuk disabitkan," jelas kenyataan dikeluarkan itu.

Tak dedah Notis Merah

Menurut kenyataan itu, PDRM dan Interpol telah menjalinkan hubungan yang baik dalam menyiasat kes berkenaan.

"Sehingga hari ini, PDRM telah menutup fail kes berkenaan dan tiada lagi permintaan oleh Interpol terhadap kes tersebut.

"Bagaimanapun, media berkenaan seolah menimbulkan isu pencarian semula terhadap Jho Low. Itu sama sekali tidak benar," jelas kenyataan itu lagi.

Menurut Interpol berhubung pertanyaan dibuat kepada mereka Malaysiakini dinasihat supaya menghubungi pihak berkuasa di negara yang dipercayai sedang membuat siasatan mengenainya.

Semakan Malaysiakini senarai orang dikehendaki di laman sesawang Interpol tidak menemui butiran mengenai Low. "Notis Merah" juga tidak dikeluarkan ke atasnya.

Namun Interpol menjelaskan negara anggota mempunyai pilihan untuk tidak mendedahkan kepada umum jika sesuatu Notis Merah dikeluarkan ke atas mana-mana pihak.

"Jika Notis Merah tidak didedahkan, keadaan itu berlaku sama ada disebabkan tiada permohonan mengenainya, atau diminta negara terbabit supaya tidak didedahkan," katanya.

Nama Low mula menjadi perhatian selepas dituduh terbabit dalam penyelewenngan dana 1MDB pada 2015.

Jabatan Keadilan AS pula mendakwa dia adalah salah seorang watak utama dalam skandal berkenaan.

Antara lain ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu dituduh menggunakan dana 1MDB untuk membeli kapal layar mewah digelar Equanimity.

Lokasi Low ketika ini tidak diketahui walaupun kapal layar itu dikesan berada di Aceh, Indonesia, semalam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS