Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid nafi PDRM sedang minta bantuan Interpol kesan Jho Low
Diterbitkan:  Oct 23, 2017 9:06 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan laporan yang memetik beliau sebagai berkata bahawa kerajaan Malaysia sedang meminta bantuan Interpol untuk mengesan Low Taek Jho atau Jho Low.

“Pejabat timbalan perdana menteri menafikan secara tegas laporan yang dibuat oleh beberapa media sosial yang telah memanipulasikan jawapan YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa PDRM sedang meminta bantuan Interpol bagi menjejak ahli perniagaan Jho Low.

"Jawapan YAB Timbalan Perdana Menteri ketika di sidang Parlimen pagi ini ke atas soalan tambahan YAB Ahli Parlimen Gombak (Datuk Seri Azmin Ali) jelas menyatakan bahawa tiada kes untuk disabitkan," jelasnya..

Menurut kenyataan itu, PDRM dan Interpol telah menjalinkan hubungan yang baik dalam menyiasat kes berkenaan.

"Sehingga hari ini, PDRM telah menutup fail kes berkenaan dan tiada lagi permintaan oleh Interpol terhadap kes tersebut.

"Bagaimanapun, media berkenaan seolah menimbulkan isu pencarian semula terhadap Jho Low. Itu sama sekali tidak benar," jelas kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Zahid di Dewan Rakyat hari ini dilapor berkata kerajaan sudah mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan Jho Low.

Ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu disebut beberapa kali dalam dakwaan salah guna dana 1MDB dan didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berikut adalah transkrip penuh jawapan Zahid ketika menjawab soalan Azmin di Dewan Rakyat:

Azmin: Kerjasama yang diwujudkan melibatkan aktiviti dan jenayah perdagangan dan kewangan di mana polis boleh dapat bantuan Interpol untuk tahan seseorang dan menyiasat bagi sesuatu kes yang banyak dinyatakan.

Saya telah membangkit perkara ini beberapa bulan yang lalu di mana PDRM perlu dapat khidmat Interpol untuk locate atau mengenalpastikan kedudukan Jho Low yang telah banyak disebutkan dalam banyak laporan di peringkat antarabangsa di mana dia terlibat dalam jenayah kewangan dan perdagangan.

Persoalan saya di mana kedudukan PRDM dalam perkara ini dan apakah polis akan mendapat bantuan Interpol untuk mengenalpasti kedudukan Jho Low dan mendapat kerjasama Interpol untuk menahan dan membawa balik Jho Low bagi tujuan menyiasat skandal kewangan yang terbesar dalam negara. Saya mohon pandangan YAB.

Zahid: Walaupun soalan itu bukan soalan asal, tetapi saya ingin menyebutkan kerjasama bukan hanya terjalin malah presiden Interpol adalah MPS vice minister of public security of China.

Mengenai kes itu, kita memang telah mengemukakan permintaan kepada Interpol untuk mencari di manakah orang yang dimaksudkan oleh YB Gombak.

Kita amat yakin bahawa Interpol bertindak dengan profesional dan PDRM masih belum memperolehi sebarang maklumat terperinci daripada Interpol.

Namun kita yakin apa yang telah dilakuan beberapa pihak antarabangsa terutama perisikan telah dimuktamadkan dan kita yakin kes itu tak relevan kecuali dibangkit oleh ahli-ahli politik yang tak puas hati mengenainya.

 

Lihat Komen
ADS