SPR bersikap ambil mudah dan pilih kasih
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kelemahan kerana mengambil 'mudah' ketika menjalankan pendaftaran pengundi serta bersikap pilih kasih ketika mengedarkan borang pendaftaran kepada parti-parti politik.
Wakil DAP-Bukit Bintang, Fong Kui Lun, memberitahu demikian di sidang Dewan Rakyat hari ini, dalam ucapan penangguhan berhubung pembersihan daftar pemilih dan mewujudkan empat kerusi Parlimen baru di Wilayah Persekutuan.
Katanya, sukar untuk mengenalpasti pengundi tulin kerana SPR telah membenarkan pendaftaran alamat pengundi tidak mengikut kad pengenalan.
"Yang terbaik ialah mendaftar menurut alamat dalam kad pengenalan,' katanya.
Ahli Parlimen itu menceritakan pengalamannya semasa menjadi calon Parlimen Klang tahun 1995 di mana kempen pendaftaran pengundi berjalan secara en bloc di satu alamat yang sama di mana 50 pendaftar mempunyai alamat yang sama.
Menjawab kenyataan wakil DAP itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Bernard Dompok berkata orang ramai boleh membuat bantahan sekiranya jika ia terbukti benar dan SPR akan membuat siasatan.
Katanya, dalam proses menyemak daftar pemilih, SPR akan mengeluarkan nama-nama pemilih yang disahkan meninggal dunia, berganda atau hilang kelayakan, mengikut peruntukan 13 Peraturan-Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya 1971.
Dompok menafikan SPR bersikap pilih kasih ketika mengedarkan borang-borang pendaftaran kepada parti-parti politik.
Bagaimanapun katanya pasukan penggerak SPR boleh mendaftar sesiapa jua secara berkumpulan termasuk ahli-ahli politik yang mengumpul ahli untuk berdaftar.
Fong sebelum itu mempertikai tindakan suruhanjaya mengedarkan borang secara sulit kepada parti tertentu.
Dompok berkata mulai tahun 1999, SPR telah mendapat kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara menerusi sistem online, di mana maklumat pemilih dapat disemak dengan mudah oleh SPR.
Dengan cara itu mulai tahun 2000 isu pemilih bukan warganegara dan soal pemilih yang meninggal dunia dapat diatasi.
Beliau mengulas cadangan Fong bagi menambah empat bahagian pilihanraya masih dalam peringkat kajian SPR.
Katanya lagi persempadan semula bahagian-bahagian pilihanraya hanya akan dilakukan selepas Mac 2002.

