Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Lebuhraya Pan Borneo pemangkin baru ekonomi Sabah, S'wak

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau percaya projek Lebuhraya Pan Borneo bakal menjadi pemangkin lonjakan baharu kepada demografi dan sosioekonomi Sabah dan Sarawak mencakupi peningkatan kualiti hidup, pembangunan koridor baharu ekonomi serta membuka peluang baharu kepada masyarakat setempat.

Perdana menteri berkata ia selaras dengan ‘Aku Janji Kerajaan’ pada 13 April 2013 untuk menyediakan jaringan jalan raya lebih efisyen dan selamat kepada penduduk Sabah dan Sarawak.

“Maka hari ini sekali lagi, Aku Janji tersebut direalisasikan," kata Najib dalam catatan di blognya, najibrazak.com.

Najib semalam melancarkan Pakej Kerja Keenam Projek Lebuhraya Pan Borneo sejauh 19.6km menghubungkan Putatan dengan Inanam yang berharga RM900 juta, dan menyifatkannya sebagai satu lagi detik bersejarah buat Sabah.

Pakej kerja yang dilancarkan sebelum ini ialah Pakej Papar-Donggongon pada 24 April 2016 di Papar, Pakej Tawau-Semporna pada 28 Mei 2016 di Tawau, Pakej Jalan Pintas Lahad Datu pada 19 Dis 2016 di Lahad Datu, dan Pakej Sindumin-Kampung Melalia pada 4 Mac 2017 di Sipitang.

Najib berkata jika dilihat dari segi ekonominya pula, Lebuhraya Pan Borneo mampu meningkatkan efisiensi dan kecekapan serta mengurangkan kos dengan menyediakan ‘point-to-point connectivity’ yang lebih cepat dengan kos pengangkutan barangan lebih murah.

“Melalui model Project Delivery Partner (Rakan Pelaksana Projek), kerajaan yakin dapat melaksanakan projek ini mengikut jadual dengan Key Performance Indicator (Indeks Petunjuk Prestasi) atau KPI yang telah ditetapkan," kata perdana menteri.

Dengan jarak 1,236km, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan menelan belanja RM12.86 bilion dan akan dibiayai sepenuhnya kerajaan persekutuan.

Katanya, sepertimana projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, ia juga merupakan lebuh raya yang dibina oleh kerajaan tanpa dikenakan tol.

"Keputusan tidak mengenakan tol bagi Lebuhraya Pan Borneo ini adalah konsisten dengan dasar semasa kerajaan memandangkan lebuh raya ini dibina melibatkan kerja-kerja naik taraf jalan raya sedia ada," kata Najib.

Najib seterusnya menjelaskan jajaran sepanjang 19.6km di bawah pakej Putatan-Inanam dengan anggaran kos RM900 juta yang dilancarkan hari ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan jajaran yang akan merentasi Kota Kinabalu, atau juga dikenali sebagai Jalan Raya Pesisir Luar Kota Kinabalu.

Katanya, keseluruhan Jalan Raya Pesisir Luar Kota Kinabalu itu akan menyaksikan pembinaan jalan raya dan naik taraf jalan kepada empat lorong dua hala yang merangkumi tujuh jambatan baharu, enam persimpangan bertingkat dan 10 jejantas untuk pejalan kaki.

“Apabila siap kelak, jalan ini akan menyediakan akses perhubungan darat yang selesa, cekap dan selamat kepada 3.9 juta penduduk Sabah amnya dan 700,000 penduduk di sekitar Kota Kinabalu khasnya.

“Hasilnya, penduduk Putatan dan Inanam akan menikmati satu laluan jalan raya baharu yang akan membuka kawasan-kawasan baharu serta merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Perdana menteri berkata projek itu juga akan menjadi ‘game changer’ kepada landskap pembangunan sosioekonomi Sabah dan Sarawak kerana projek itu berupaya mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya di Semenanjung Malaysia yang telah mentransformasikan pembangunan di kawasan sekitarnya.

Strategi utama kerajaan, ujar beliau, adalah supaya Lebuhraya Pan Borneo itu akan memperkukuh dan memperluaskan rangkaian jalan raya bagi kedua-dua negeri berkenaan.

Beliau menegaskan projek itu perlu dilihat daripada aspek lebih luas terutama dari segi ‘value chain’ (rantain nilai) yang mana peluang penglibatan dapat diberi kepada kontraktor tempatan Sabah daripada pelbagai peringkat pelaksanaan sama ada sebagai konsultan, vendor, pembekal mahupun kontraktor.

“Projek ini akan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan negeri Sabah,” kata Najib.

Di samping itu, katanya, projek tersebut juga membuka pintu kepada lebih banyak pelaburan di wilayah koridor Sabah dan ia bertepatan dengan misi serta objektif mempromosikan keseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kerja Raya dan kerajaan negeri Sabah atas kerjasama untuk memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancang,” kata Najib. -Bernama

 

Lihat Komen
ADS