Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor berharap rakan politiknya, DAP tidak membuat keputusan tergesa-gesa untuk keluar dari komponen Barisan Alternatif (BA) berikutan kontroversi mengenai isu negara Islam sejak akhir-akhir ini.

"Kita masih dalam proses perundingan dan Barisan Alternatif (BA) berharap dapat mencapai satu persetujuan," jelas beliau ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Fadzil berkata PAS akan terus mengadakan perbincangan dan berharap laporan akhbar The Sun mengenai rancangan DAP untuk menarik diri dari BA "tidak akan berlaku".

Beliau mengulangi kenyataan bahawa PAS masih berpegang kepada manifesto BA.

Akhbar The Sun hari ini telah melaporkan sumber parti berkata DAP telah membuat keputusan untuk keluar dari BA.Kepimpinan parti itu dikatakan menerima tekanan dari kumpulan akar umbi parti selepas beberapa isu kontroversi negara Islam ditimbulkan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock menafikan laporan akhbar itu tanpa menolak kemungkinan untuk berbuat demikian. Beliau memberitahu sidang media selepas sesi Dewan hari ini.

"Sama ada DAP meninggalkan BA atau tidak adalah perkara serius, maka pengumuman seperti ini tidak akan dilakukan melalui sumber parti," ulas beliau merujuk kepada laporan akhbar itu.

Kata beliau kontroversi ini timbul pada saat yang kritikal bagi pakatan alternatif dan DAP sendiri tetapi usaha masih dijalankan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Ideologi parti

Beliau yang juga wakil rakyat Kota Melaka menjelaskan Jawatankuasa Pusat Eksekutif (CEC) parti perlu membuat keputusan sebelum persidangan Kongres Nasional DAP pada 18 Ogos depan.

Sementara itu, wakil DAP-Bukit Mertajam, Chong Eng turut bersetuju dengan kenyataan rakannya itu yang akan membincangkan beberapa kemungkinan terhadap langkah meneruskan atau keluar dari BA.

"Dalam arena politik, memang baik sesebuah parti mempunyai ideologi, tetapi jika orang ramai tidak dapat menerimanya, maka ia tidak akan bermakna," kata beliau merujuk kepada isu negara Islam.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau mahu mendengar maklumat secara langsung daripada DAP sendiri.

"Mereka boleh komen apa sahaja," kata Hadi merujuk laporan akhbar.

Beliau berkata PAS menerima 'respons baik' di kalangan rakyat bukan Islam di kawasan Utara, Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor ketika diadakan perjumpaan bersama masyarakat baru-baru ini.

"Mereka lebih berminat untuk memahami tentang konsep Islam. Oleh itu kami perlu jelaskan lagi dasar-dasar Islam itu,' ujar Hadi sewaktu ditemui di parlimen hari ini.

Katanya sehingga kini penduduk bukan Islam di kedua-dua negeri Kelantan dan Terengganu dapat menerima konsep-konsep Islam dengan begitu baik.

Katanya sebuah buku berkaitan konsep negara Islam akan diterbitkan tidak lama lagi bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai isu itu.