Selepas hampir 40 tahun tinggal di sebuah rumah banglo dua tingkat di Jalan Tualang, Bangsar, ahli perniagaan Michael Choong akhirnya membuat keputusan untuk menjual rumah itu dan membawa keluarganya berpindah.
Keputusan itu diambil setelah tidak tahan lagi dengan gangguan berpunca daripada kediaman yang diubah suai menjadi premis komersil berhampiran rumahnya.
"Mereka mula beroperasi tahun ini dan mengadakan empat hingga lima acara," kata Choong merujuk kepada banglo dua tingkat yang telah diubah menjadi premis komersial sejak tahun 2015.
Choong berkata beliau kini tidak sanggup lagi tinggal di kawasan itu bersama-sama dengan lapan anggota keluarganya yang lain.
Choong (gambar) adalah antara 50 penduduk yang sejak beberapa tahun lalu membantah keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menukar status kediaman berkenaan kepada komersil, yang antara lain menyebabkan kesesakan lalu lintas dan bunyi bising.
"Setiap kali mereka mengadakan acara, akan ada lori keluar masuk membawa barang pada awal pagi dan kadang-kala sekitar tengah malam.
"Kali terakhir mereka mengadakan acara menyebabkan jalan sesak. Jalan jadi sempit sampai hanya satu kereta saja boleh lalu," katanya.
Rumah Choong terletak betul-betul di seberang bangunan komersial berkenaan.
Hari ini, penduduk yang diketuai penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, M Ali, sekali lagi berkumpul di persimpangan utama Jalan Maarof dan Jalan Tualang.
"Hati saya luluh bila saya lihat papan tanda "Untuk Dijual" pagi ini. Sebab apa dia nak jual? Bukan sebab dia nak pindah tapi sebab kecewa seperti yang kami alami" kata Ali.
