Polis Kelantan mendedahkan pihaknya menerima laporan daripada individu pelbagai latar belakang termasuk buruh, doktor dan pensyarah antara 19 kes penipuan sindiket 'Macau Scam' sepanjang 2017 di negeri itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud, berkata masyarakat perlu berwaspada selepas kes tersebut semakin meningkat berbanding hanya empat kes pada tahun lalu.

Menurut beliau, sindiket itu tidak mensasarkan golongan tertentu sebaliknya memilih mangsa secara rawak.

"Merujuk kepada modus operandi suspek, mereka akan membuat panggilan secara rawak untuk dihubungi bagi menyatakan mangsa mempunyai tunggakan hutang atau yang berkaitan dengan tuntutan wang dari mana-mana agensi.

"Selepas berjaya menghubungi, suspek akan meminta supaya menjelaskan tuntutan terbabit dan sekirannya perkara itu dinafikan mangsa, suspek akan menyambungkan talian terbabit kononnya kepada rakan sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis," katanya pada sidang media di IPK Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Merujuk kepada kes terbaru Mohamed Zulmazi berkata, hasrat seorang buruh untuk memiliki sebuah rumah lebur apabila wang simpanannya berjumlah RM40,000 lesap selepas ditipu oleh sindiket tersebut pada bulan lalu.

Katanya, dalam kejadian yang berlaku di Tanah Merah itu, mangsa berusia 60 tahun itu dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai bank dengan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan ansuran bulanan pinjaman peribadi dengan bank berkenaan.

"Siasatan yang dijalankan terhadap kes itu mangsa dikatakan dituntut untuk menjelaskan tunggakan bank dan sekiranya gagal menjelaskannya mangsa bakal dikenakan tindakan undang-undang.

"Suspek menyamar menjadi seorang pegawai bank menyebabkan mangsa menjadi takut dan mengikut apa sahaja yang disuruh suspek supaya kes yang mereka dakwa itu selesai," jelasnya.

Tambah beliau, taktik ini digunakan suspek bagi mengugut mangsa supaya melakukan pembayaran segera kepada nombor akaun peribadi yang akan diberikan suspek yang menyamar polis.

"Mangsa yang takut dengan keadaan itu segera memindahkan wang kepada akaun terbabit dan selepas selesai urusan pemindahan wang mangsa turut diingatkan tidak memaklumkan perkara yang berlaku kepada orang lain.

"Sekiranya orang ramai ada menerima panggilan terbabit segera memaklumkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut dan kes terbabit akan disiasat Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

November lalu, jutawa kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida hampir ditipu RM30,000 selepas menerima panggilan daripada sindiket penipuan yang mendakwa akaun bank peribadinya dibeku.