Terjemahan Kedudukan Malaysia di tempat ke-39 daripada 146 negara yang disenaraikan dalam Indeks Persepsi Rasuah, sepatutnya mendapat perhatian pihak kerajaan, terutama perdana menteri, yang berulangkali berikrar untuk membasmi perbuatan rasuah.

Walaupun usaha sedang diambil untuk meningkatkan kesedaran mengenai langkah anti-rasuah, tetapi ianya belum lagi memenuhi jangkaan rakyat.

Finland menduduki tempat teratas senarai Indek Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International (IT), dengan 9.7 daripada 10 mata penuh, diikuti oleh New Zealand (9.6), Denmark (9.5) dan Iceland (9.5). Manakala negara jiran Malaysia Singapura menduduki tempat kelima dengan 9.3 mata.

Malaysia yang kedudukannya semakin merosot sejak beberapa tahun lalu, berada ditangga 37 daripada 133 yang disenaraikan pada tahun 2003 dan di tempat 34 daripada 102 negara, pada tahun lalu, dengan purata 5 mata.

Mac lalu, TI mengeluarkan Laporan Rasuah Global 2005 setebal 316 muka, dengan tumpuan khas kepada industri pembinaan.

Ia menyarankan supaya sektor awam dan swasta menandatangani perjanjian integriti atau perjanjian 'anti-rasuah', yang menurutnya, telah diamalkan di lebih 20 negara, bagi memastikan pihak-pihak yang terbabit dalam kontrak, tidak melakukan rasuah.

Satu pelan rencana untuk kontrak awam yang telus, yang dikenali sebagai Piawaian Minima bagi Kontrak Awam, turut disertakan bersama laporan tersebut.

Tender terbuka

Antara lain, ia memerlukan tawaran tender dibuat secara terbuka, menyenarai-hitam syarikat yang memberi rasuah, pendedahan sepenuhnya butiran dan proses pemberian kontrak dan pemantauan rapi oleh agensi bebas dan badan-badan sivil.

Walaupun beberapa negara di Afrika, Eropah Tengah dan Timur, serta Asia Tenggara, mudah terdedah pada rasuah, tetapi laporan tersebut turut memberi contoh usaha-usaha yang sedang diambil untuk membanterasnya.

Strategi Malaysia terdapat dalan Pelan Integriti Negara yang didukung oleh Institut Integriti Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2004 yang mensasar mencapai matlamat yang ditetapkan pada tahun 2008.

Ketika membentangkan kertas kerjanya di forum integriti bagi sektor pembinaan, Dr Sulaiman Mahbob berkata, terdapat keperluan untuk memaju mekanisme pelaksanaan dan penyelarasannya.

Menurutnya, sektor awam mempunyai jawatankuasa integriti pengurusan di semua peringkat, tetapi masih perlu memperkukuhkannya lagi mekanisme itu melalui komitmen kepimpinan negara.

Katanya, peranan yang sama boleh dimainkan oleh dewan-dewan perniagaan dan persatuan di sektor swasta.

"Badan penyeliaan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekutiri serta Bank Negara, mesti memastikan undang-undang dan prosedur dipatuhi," katanya.

Sulaiman juga menekankan pentingnya kepimpinan sektor awam dan swasta menggubal dasar-dasar anti-rasuah yang konkrit dan melaksanakannya secara bersunguh-sungguh.

Minggu lalu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu, Datuk Roslan Awang Chik menegaskan memang wujud perbuatan rasuah dan karenah birokrasi dalam industri pembinaan negara.

Pembaharuan konkrit

Sementara itu, Josie M Fernandez dari TI Malaysia, menyebut tragedi seperti kejadian jeti Pulau Pinang runtuh (1988), Kejadian Highland Towers (1993), kes Lebuhraya Lembah Kelang Utara-Meru (2005) dan Hospital Sultan Ismail Hospital (2004) sebagai contoh dakwaan berlakunya amalan rasuah di sektor pembinaan.

Selain iltizam politik, langkah pembaharuan yang konkrit dan pentadbiran yang baik, beliau turut mencadangkan penggubalan kod etika untuk pelanggan syarikat pembinaan dan kejuruteraan.

"Laksanakan perjanjian integriti TI dalam pemberian kontrak," tambahnya.

Manakala Prof Khairuddin Abdul Rashid dalam kertasnya, berkata, satu kajian oleh 32 pelajar bidang pembinaan Malaysia Ogos lalu, mendapati tender, pembayaran, variasi dan tuntutan, merupakan bidang yang paling bermasalah.

"Kira-kira 94 peratus menjawab 'ya' kepada soalan sama ada masalah etika wujud dalam industri tersebut," katanya.

Beliau juga mendapati sektor pembinaan kurang integriti akibat kelewatan menyiapkan kerja, kos berlebihan, mutu rendah dan projek tergendala.