Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUTP: Guru bersuara isu politik boleh cetuskan perbalahan

Guru yang menyertai parti politik dan menyuarakan pandangan secara terbuka boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni di kalangan komuniti perguruan, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Kamarozaman Abd Razak.

Beliau berkata, ini kerana tindakan itu boleh mencetuskan perbalahan di tempat kerja terutama dengan guru yang menganggotai atau menyokong pihak politik yang berlawanan.

"(Boleh) berlawan hujah dan bergaduh di tempat kerja, nanti tidak harmoni apabila masing-masing bersungguh-sungguh (berhujah).

"Kami menasihati ahli agar membuat pilihan antara kerja atau politik. Jika mahu (terus) bekerja kerajaan, tinggalkan politik...Jika nak berpolitik, letak jawatan dan buat sepenuh masa," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun beliau berkata guru masih boleh menyertai parti politik, dengan syarat tidak secara terbuka atau terlalu agresif.

Apatah lagi guru yang terlalu menunjukkan sikap politik mereka boleh mengelirukan pelajar mereka, katanya lagi.

Katanya, hak guru untuk terlibat dalam politik adalah ketika mengundi pada pilihan raya umum (PRU).

Beliau mengulas laporan akhbar Kwong Wah Jit Poh yang memetik Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menggesa guru dan pegawai kementeriannya yang memegang jawatan dalam parti pembangkang untuk meletakkan jawatan, jika ingin terus melawan kerajaan.

Arahan itu ternyata bertentangan dengan seruan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor 3 Oktober lalu yang menggesa guru menyertai Umno.

"Silakan guru yang nak jadi ketua bahagian, ketua cawangan, nak bertanding ketua pemuda...Kita benarkan guru untuk bersama-sama dengan kita (Umno)," katanya dalam acara di sebuah sekolah di Putrajaya.

Kamarozaman berkata, Pekeliling Perkhidmatan Penjawat Awam melarang penjawat awam daripada terlibat dalam politik, terutama memengang jawatan dalam parti pembangkang.

"Perintah am ini sudah lama, cuma kerajaan tidak kuatkuasakannya," katanya lagi sambil menambah NUTP tidak akan membela guru yang diminta berhenti akibat terlibat dalam politik.

Namun, beliau maklum dengan kandungan pekeliling itu yang mewajibkan guru membuat permohonan kepada kementerian jika mahu memegang jawatan dalam mana-mana parti.

"Kena ingat yang guru mesti menurut perintah selagi tidak menyalahi undang-undang...Tak bagus melawan 'ibu bapa' yang memberi makan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS