Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kita dalam kapal yang sama, kata Ku Nan pada guru

Selepas amaran perdana menteri berhubung "masa depan gelap di bawah pembangkang" pagi tadi, kini giliran Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk memberikan amaran sama kepada penjawat awam.

Amaran Ku Nan itu ditujukan kepada guru-guru dalam satu program penyampaian hadiah di sebuah sekolah rendah di Presint 14 Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, guru antara penjawat awam yang berhadapan risiko disingkirkan daripada perkhidmatan jika pembangkang mengambilalih kerajaan.

"Ingatlah, saya dan anda dalam kapal yang sama. Puak-puak yang lain, bukan kerajaan, cakap nak buang setengah daripada penjawat awam," katanya tanpa merujuk pembangkang secara khusus.

"Marilah kita berjuang untuk memastikan masa depan negara terjamin demi anak, ibubapa, agama dan negara," katanya yang juga setiausaha agung Umno.

Selain murid dan guru sekolah tersebut, program itu turut dihadiri murid dan guru dari sekolah rendah dan sekolah menengah dari kawasan sekitar.

Kunan juga membangkitkan peranan guru yang menjadi tunjang dalam Umno terutama ketika perjuangan menuntut kemerdekaan negara.

"Banyak yang lupa sejarah, ambil mudah apa yang telah kita capai. Tahun ini (ulang tahun kemerdekaan) 60 tahun...Kita boleh ke sekolah, kolej, main bola di padang, ini semua dilakukan oleh kerajaan hari ini.

"Dahulu parti kita kuat kerana guru. Jika tiada guru-guru yang kacak dan cantik ini, sudah pasti kita tidak capai apa yang kita ada hari ini," katanya.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS