Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: 'Cikgu pembangkang' digesa berhenti kerja
Diterbitkan:  Jan 19, 2018 5:19 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Guru-guru dan pegawai yang memegang jawatan dalam parti pembangkang diminta meletak jawatan, lapor Kwong Wah Jit Poh.

Memetik Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid, akhbar Cina itu melaporkan gesaan itu dibuat dibuat kerana kritikan mereka boleh merosakkan imej kerajaan.

“Mereka patut letak jawatan dan gunakan kapasiti parti untuk bercakap atau bertanding dalam pilihan raya umum akan datang jika mereka mahu melawan kerajaan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Kementerian akan mengarahkan golongan itu meletakkan jawatan, tambahnya.

“Kita tidak benarkan mereka bekerja dalam agensi kerajaan ketika menjadi pembangkang atau memegang jawatan parti,” katanya.

“Bagaimanapun, katanya, mereka yang menyertai dan memegang jawatan dalam parti pemerintah dibenarkan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Mahdzir dikatakan berkata demikian dalam taklimat dasar kementerian di Putrajaya semalam.

Beliau dilapor membangkitkan kisah seorang bekas pengarah di Jabatan Pendidikan Perlis yang menggunakan media sosial untuk menyelar kerajaan.

“Saya juga tahu ada seorang guru besar menjadi pemimpin PKR manakala seorang lagi pegawai Jabatan Pendidikan ada jawatan dalam PAS. Ini tidak dibenarkan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, laporan Bernama semalam hanya menyebut Mahdzir sebagai hanya mengingatkan warga pendidik supaya berpada-pada dalam berpolitik agar tidak melanggar peraturan sebagai penjawat awam.

Laporan agensi berita nasional itu tidak menyebut sama ada mereka diminta meletakkan jawatan.

Bernama juga melaporkan Mahdzir sebagai berkata kementerian tidak berhasrat mengganggu warga pendidik terbabit sehingga perlu dipecat tetapi meminta mereka bertindak secara profesional.

Kedua-dua laporan itu dipercayai bersumberkan acara sama.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS