Kjaan sedia pelan strategik tangani globalisasi
Pasukan petugas khas mengenai globalisasi ditubuhkan di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk mengkaji langkah mengekalkan daya saing negara di peringkat antarabangsa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
"Pasukan tersebut sedang menyediakan Pelan Strategik Mengenai Globalisasi untuk mengenal pasti strategi-strategi bagi mengukuhkan daya tahan dan daya saing negara," kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Hashim Ismail, menjawab soalan seorang anggota dewan.
Datuk Lau Ngan Siew (BN-Sandakan) meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada benar globalisasi pembuka jalan kepada negara maju untuk menjajah negara membangun yang miskin dan langkah-langkah yang diambil negara ini menangani gejala itu.
Hashim berkata, kumpulan-kumplan pakar berhubung globalisasi turut ditubuhkan terutama di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian dan agensi-agensi berkaitan.
Kumpulan pakar akan memastikan kepentingan Malaysia dipertahankan semasa rundingan antarabangsa di Pertubuhan Dagangan Sedunia (WTO), Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, tambahnya.
Di peringkat antarabangsa, katanya lagi, Malaysia turut menggesa negara-negara membangun bekerjasama sebagai satu kumpulan melalui forum-forum seperti Kumpulan 15 (G-15), Kumpulan 77 (G-77), Kumpulan 8 (D-8), Persidangan Negara-negara Islam (OIC) bagi menentukan proses globalisasi mendapat faedah secara saksama.
Hashim berkata negara maju memang menekan negara membangun untuk membuka pasaran bagi membolehkan syarikat-syarikat multinasional memasuki pasaran tempatan.
"Syarikat-syarikat gergasi tersebut sudah pasti akan menjejaskan kedudukan syarikat-syarikat tempatan yang tidak berdaya bersaing dengan mereka," katanya pagi tadi.
Mengulas daya saing bank-bank tempatan, Hashim berkata bank tersebut mampu berbuat demikian selepas bergabung.
"Penggabungan bank (tempatan) daripada 54 kepada 10 bank adalah satu langkah proaktif dan dinamik untuk menghadapi persaingan (bank) TNC (syarikat multinasional)," katanya.

