Malaysiakini
BERITA

'Izham perlu tarik balik tuduhan nakal, berniat jahat'

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Feb 2018, 1:46 tengahari

Susulan 'perang mulut' antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor Izham Hashim petang tadi, beberapa pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri tampil membela Timbalan Presiden PKR itu.

Ahli Majlis Pimpinan PKR Selangor, Azmizam Zamanhuri membela Azmin yang disifatkan sebagai seorang yang teliti dan berkata 'perang mulut' itu kelihatan tidak manis.

"Azmin seorang yang teliti dan terlalu banyak kaji selidik yang telah dilakukan jadi adalah lebih baik juga kita memberikan fokus kepada pilihan raya.

"Tak manislah penyokong lihat serang menyerang antara kepimpinan dan mana boleh cakap menteri besar badut, dia ketua kita.

"Jadi, semua kepimpinan parti dinasihatkan memberikan tumpuan kepada usaha kita mendapatkan tandatangan bantahan kepada syor persempadanan semula SPR," kata Azmiham dalam suatu kenyataan kepada Malaysiakini.

Beliau ((gambar, tiga dari kiri) juga berkata AMANAH tidak boleh menafikan mesyuarat jawatankuasa pilihan raya negeri Selangor yang bertujuan merundingkan kerusi telah diadakan sebanyak empat kali.

"Jangan menafikan mesyuarat yang telah diadakan iaitu sebanyak empat kali, sama ada rasmi atau tidak sedikit sebanyak ada membincangkan soal kerusi kerana kami di peringkat jawatankuasa sentiasa dimaklumkan mengenai perbincangan tersebut.

"Lagi pun perbincangan mengenai kerusi masih berjalan, banyak perkara yang harus dibincangkan dan perlu dilihat. Jadi, kita kena tunggulah, kenapa gopoh sangat," katanya.

Azmiham juga menggesa isu-isu sebegini patut dibincangkan dalam mesyuarat.

Manakala itu, Ketua Srikandi PKR Selangor Nurainie Haziqah Shafi'i menyifatkan kenyataan Izham (gambar) yang menggelar Azmin sebagai 'badut' adalah tidak sopan dan melanggar prinsip konsensus serta keharmonian di antara parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Tindakan saudara Izham Hashim adalah amat dikesali terutamanya apabila beliau menyifatkan Datuk Seri Azmin Ali tidak layak memimpin dan menjadi Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Selangor," kata Nurainie dalam kenyataan medianya malam ini.

Beliau menggesa pimpinan HARAPAN memberikan sepenuh kerjasama kepada Azmin.

"Dalam proses perbincangan dan pembahagian kerusi pilihanraya di negeri Selangor yang merupakan proses rumit dan sukar, seharusnya sepenuh kerjasama dan kepercayaan diberikan kepada Datuk Seri Azmin Ali sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Selangor," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Gombak Zainol Abidin Mohamed mendesak pimpinan AMANAH agar menarik balik kenyataannya itu.

"Tuduhan ini sangat serius dan kami mendesak Tuan Ir Izham segera menarik balik tuduhan nakal dan berniat jahat ini.

"Kami AMK Gombak juga ingin mendesak pimpinan AMANAH agar segera meminta Ir Izham menarik balik kenyataan beliau," katanya.

Zainol dalam kenyataan medianya juga berkata tindakan Izham itu hanya akan memberikan nafas baru buat Umno-BN dan merugikan HARAPAN.

Azmin selaku Pengerusi Pakatan Harapan Selangor menempelak AMANAH kerana 'berbohong' dengan mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk negeri itu masih belum lagi dibentuk.

Beliau berkata jawatankuasa itu telah bertemu sebanyak empat kali.

Bagaimanapun, AMANAH, DAP dan BERSATU enggan merundingkan kerusi dalam jawatankuasa pilihanraya negeri Selangor dan menggesa suatu jawatankuasa lain dibentuk.

Tiga parti itu berkata jawatankuasa pilihanraya negeri yang dipengerusikan ADUN Sri Andalas daripada PKR, Dr Xavier Jayakumar tidak mempunyai mandat bagi merundingkan kerusi.

 

 


Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.