Paling Popular
Terkini

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menempelak AMANAH kerana 'berbohong' dengan mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk negeri itu masih belum lagi dibentuk.

Beliau berkata jawatankuasa itu telah bertemu sebanyak empat kali.

"AMANAH berbohong...AMANAH tidak mengatakan yang benar, AMANAH tidak amanah.

"Bolehkah AMANAH paling kurang memberitahu orang ramai duduk perkara yang sebenarnya? Kita telah bertemu sebanyak empat kali?" Kata beliau ketika ditemui selepas merasmikan sebuah masjid baru di Taman Tun Teja, Rawang tengahari ini.

Azmin membuat bidasan ini selepas ditanya sama ada jawatankuasa khas rundingan kerusi HARAPAN yang diumumkan Dr Mahathir Mohamad itu telah bertemu atau tidak.

Bagaimanapun, Azmin berkata tidak akan ada suatu jawatankuasa khas.

"Biar saya jelaskan...Kami telah bertemu sebanyak empat kali untuk berbincang bukan sahaja pembahagian kerusi tetapi isu-isu lain berkaitan dengan PRU14. Sudah tentu rundingan kerusi merupakan antara isu utama yang dibincangkan dalam jawatankuasa tersebut.

"Malangnya kami masih belum mencapai persetujuan di kalangan empat parti ini.

"Tetapi sekarang terdapat permintaan, daripada menamakan jawatankuasa pilihanraya negeri Selangor, mereka mahukan ia untuk memfokuskan kepada rundingan kerusi.

Rundingan kerusi 80 peratus

"(Jadi) mereka menamakannya sebagai 'jawatankuasa rundingan kerusi'. Anggota yang sama, anggota parti yang sama, parti yang sama," jelas beliau.

Menurut Azmin 'lebih 80 peratus' kerusi telahpun diputuskan setakat ini.

"Anda tidak boleh mengharapkan kami memutuskan 100 peratus rundingan kerusi empat bulan sebelum pilihan raya," katanya.

Mahathir membuat pengumuman berkenaan jawatankuasa khas itu selepas rundingan kerusi HARAPAN di Selangor dilaporkan menemui jalan buntu kerana perbezaan pandangan di antara PKR dan tiga lagi parti HARAPAN.

AMANAH, DAP dan BERSATU enggan merundingkan kerusi dalam jawatankuasa pilihanraya negeri Selangor dan menggesa suatu jawatankuasa lain dibentuk.

Tiga parti itu berkata jawatankuasa pilihanraya negeri yang dipengerusikan ADUN Sri Andalas daripada PKR, Dr Xavier Jayakumar tidak mempunyai mandat bagi merundingkan kerusi.

Baca: AMANAH jawab: Azmin macam 'badut'

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS